Jaga niat, Allah tahu

BESUT: Pengajaran dari kisah Peperangan Uhud hendaklah diambil iktibarnya supaya perjuangan menegakkan agama Allah sentiasa berada di atas jalan yang benar dan diredhai serta jaminan pahala.

Advertisement

Begitu juga kisah ketua munafik, Abdullah bin Ubay memberikan cadangan berperang di dalam Kota Madinah ditolak Rasulullah, sebaliknya menerima usulan kumpulan pemuda yang mahu berperang di luar Madinah.

Lalu Abdullah segera menunjuk perasaan dengan menarik 300 askar di bawahnya, menjadikan kedudukan tentera Islam lompang, hasil daripada perbuatan khianatnya itu.

Demikian antara iktibar diperingatkan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hussein Awang ketika menyampaikan syarahan dalam Program Taujihat Pilihan Raya PAS Kawasan Besut malam tadi.

Tambah beliau lagi, keputusan dari Rasulullah itu adalah kerana Allah tahu isi hati kedua-dua mereka, yakni golongan ikhlas dan munafik dalam memberikan idea.

Oleh itu sambung beliau, walaupun Rasulullah sudah tiada, tetapi Allah tetap ada dan Dia Maha Mendengar dan Mengetahui perkara yang ada dalam lubuk hati manusia bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Mengulas berkenaan dengan fitnah oleh Naib Presiden PAN, Dato’ Mahfuz Omar, beliau memilih mengambil sikap berdiam diri kerana jawapan Presiden PAS cukup menjelaskan dan beliau juga tidak mahu ahli hilang tumpuan dengan fitnah itu.-HARAKAHDAILY 11/4/2018