Kenapa tinggal Temerloh?

SEJURUS Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS mengisytiharkan calon PAS bagi P.082 Parlimen Indera Mahkota dan saya dinamakan sebagai calon tersebut, maka seperti biasa pro dan kontra mula berkumandang.

Advertisement

Saya positif. Justeru saya bukanlah makhluk yang sempurna. Apa yang ada pada saya hanyalah kesungguhan dan kemahuan berjuang untuk mencari kesempurnaan hidup bersama penghayatan Islam.

Paling popular, serangan peribadi yang dihala kepada saya ialah Tantawi lari dari Temerloh. Mencari tempat selamat!

Sebelum ini telah berlegar khabar angin mengatakan saya akan lari ke Kelantan untuk mencari tempat selamat setelah Temerloh dikatakan tergugat.

Terdapat beberapa perkara yang perlu saya jelaskan supaya insan yang punya pengamatan yang teliti serta sanubari yang tenang dapat memahami dengan baik dan tidak melemparkan tohmahan yang bukan-bukan.

i) keputusan bertanding dalam PAS, bukan dibuat oleh calon. Sebaliknya proses mencadangkan calon ditentukan oleh kawasan, kemudian diangkat ke pihak Badan Perhubungan PAS Negeri dan seterusnya dimuktamadkan oleh PAS Pusat setelah kelayakannya diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak. Ertinya, saya tidak berautoriti untuk menentukan tempat saya bertanding.

ii) isu mahu lari ke Kelantan tidak berbangkit. Pertama kerana faktor – (i) dan kedua, ia langsung tidak berbangkit di peringkat PAS Kelantan dan Pusat justeru Kelantan telah memiliki set kepimpinan layak dan wibawa mereka yang telah dipersetujui.

iii) mahu cari tempat selamat? PRU ke-14 pada pengamatan kami, setelah melihat senario pertandingan 3 penjuru atau lebih adalah memberi peluang terbuka kepada semua parti bertanding untuk menang. Lantaran itu, dalam misi memburu kemenangan, kami sasarkan lebih 130 kerusi dan semuanya untuk dimenangi. Maka pandangan kami, tiada istilah kerusi selamat atau kerusi bahaya.

iv) meskipun saya diposisikan oleh parti untuk bertanding di Indera Mahkota, maka hikmahnya ialah saya kembali ke kawasan saya sendiri. Sementara Temerloh, insya Allah ada pengganti yang saya percaya lebih wibawa berbanding saya. Juga dari tokoh yang menetap dalam kawasan Temerloh itu sendiri. (Bakal diumumkan 19 April 2018 ini)

Saya tidak menjangkakan Indera Mahkota lebih ‘selamat; berbanding Temerloh untuk saya meninggalkannya atas faktor ‘kerusi selamat’. Tambahan pula PAS bakal berdepan dengan tokoh-tokoh hebat dari parti saingan di Indera Mahkota.

Bahkan ada yang mengkategorikan saya sebagai calon underdog di Indera Mahkota. Segalanya saya serah kepada Allah swt dalam menentukan natijah (keputusan) dari segala tindakan yang diambil.

Temerloh diserahkan kepada calon yang lebih baik. Insya Allah beliau mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan apabila PAS menampilkan calon pemastautin di bumi Temerloh sendiri.

Segala kelemahan dan kekurangan akan diperbaiki. Sementara apa yang baik tentu sahaja akan diteruskan apabila PAS mengambil langkah positif dan tegas dengan meletak calon yang berwibawa, bukan sahaja di Temerloh tetapi juga di seluruh negara.

Jika kamu berjuang menegakkan kebenaran bagai yang diajar oleh Allah swt. Nescaya Allah swt akan memberi pertolongan dan kemenangan kepada kamu dan menetapkan pendirian kamu di atas kebenaran yang diperjuangkan. – HARAKAHDAILY 13/4/2018