PAS wakil tunggal Gagasan Sejahtera di Terengganu

BESUT: PAS Negeri Terengganu telah membuat persiapan pilihan raya secara agresif dengan segala insentifnya sejak lebih setahun lalu, demikian menurut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Hussein Awang.
 
Bahkan katanya, sebelum pembubaran parlimen lagi, PAS Terengganu telah melancarkan ‘Countdown 100 Hari’ menggerakkan agenda pilihan raya di seluruh negeri itu.
 
“Itulah bermulanya jentera PRU (secara agresif) seolah-olah PRU berlaku esok dan insyaAllah pembubaran yang berlaku ini, tidak menjadikan kita dalam keadaan tergamam apa-apa,” ujar beliau.
 
Dato’ Hussein berkata demikian pada majlis Taujihat Pilihan Raya anjuran PAS Kawasan Besut di Dewan Haji Salleh, Alur Lintang, di sini kelmarin.
 
Beliau menjelaskan bahawa tiada satupun kerusi sama ada Dun mahupun Parlimen, diminta kuotanya oleh parti-parti lain di dalam Gagasan Sejahtera untuk ditandingi.
 
Hal itu jelasnya, menjadikan PAS wakil tunggal Gagasan Sejahtera di Terengganu dan beliau turut menyatakan bahawa Besut sedang menunjukkan perubahan yang lebih positif berbanding tahun lalu hasil daripada gerak kerja terutama jentera Pemuda.
 
“Dilihat bahawa jentera-jentera di kalangan anak-anak muda semakin rancak dan semakin bersemangat, dan memberikan satu gambaran bahawa harapan untuk berlakunya perubahan kepada Besut ini insyaAllah (akan berlaku),” ujar beliau yakin.
 
Bekas Speaker Dun Terengganu itu juga menasihatkan agar semua tenaga kerja meningkatkan lagi keupayaan dan kerjasama, tidak lalai atau termakan dengan dakyah mahupun fitnah yang sedang tersebar dengan meluasnya ketika ini.
 
“Semua petugas, ahli dan pengundi PAS, hendaklah mereka memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan PAS dalam mengharungi PRU ini, agar tidak mudah dipecahkan kesatuan yang ada oleh musuh,” serunya. -HARAKAHDAILY 12/4/2018
Advertisement