Pekeliling Bishop hilang: Izzah Presiden PAS

SAYA merasa agak terkejut bila membaca laporan portal berita Malaysia Kini hari ini bahawa Pekeliling Uskup BP/2018/014 dan Pekeliling Uskup BP/2018/015 yang dikeluarkan oleh Bishop of Melaka Johor Diocese, Rt. Rev. Bernard Paul, beberapa hari lalu kini telah tidak boleh diakses lagi dari laman-laman web yang mengeluarkannya.

Advertisement

Malah, mengikut laporan portal berita Malaysia Kini, usaha wartawannya untuk mendapatkan maklum balas daripada Melaka Johor Diocese juga menemui kegagalan bila panggilan yang dibuat diletakkan (“hung up”) oleh Melaka Johor Diocese.

Seperti diketahui, Pekeliling Uskup BP/2018/014 mengarahkan semua “parishes and religious houses” untuk berdoa supaya Tuhan campur tangan dan supaya berlaku perubahan dalam PRU 14 manakala Pekeliling Uskup BP/2018/015 pula mengibaratkan perjuangan membebaskan diri dari kerajaan sekarang sama seperti perjuangan membebaskan diri dari pemerintahan penjajah. Serta menyifatkan kerajaan dan pemerintahan serta institusi yang ada dalam negara, termasuk pilihan raya, sebagai tidak bersih dan gagal.

Beberapa laporan polis telah dibuat ke atas pengedaran pekeliling ini.

Laporan polis yang pertama dibuat di atas asas bahawa retorik-retorik terlalu keras yang digunakan oleh Bishop Bernard Paul boleh membakar semangat penganut agama Kristian untuk membenci, tidak puas hati dan tidak setia terhadap kerajaan dan semua institusi yang ada dalam negara seterusnya boleh mendorong mereka supaya turut cuba mendapatkan perubahan dengan apa-apa cara selain cara yang sah.

Laporan polis yang kedua pula dibuat di atas asas bahawa penggunaan ungkapan “Allah” oleh Bishop Bernard Paul, termasuk di dalam ayat “Bersama Membangun Kerajaan Allah”, adalah bercanggah dengan Seksyen 9 (2) Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam 1988 Melaka dan Seksyen 9 (2) Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam 1991 Johor.

Saya tidak melihat sebarang reaksi diberikan oleh Bishop Bernard Paul mahupun oleh Melaka Johor Diocese walaupun komentar mengenai isu ini telah dibuat pada 12 April lagi dan walaupun laporan polis telah dibuat pada 13 April lagi.

Bagaimanapun, semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah mengeluarkan kenyataan cukup mantap bagi mengulas isu ini dengan menyebut:

●     Mereka sebenarnya termasuk bala tentera penjajah yang dilatih bagi mengekalkan teori atau ideologi Sekularisma yang dianut oleh penjajah itu mengikut kitab Bible yang menjadi rujukan dan pegangan mereka.

●    DAP mendapat bayangan kalangan mereka itu, menjadikannya sangat galak berjuang merobek Perlembagaan Persekutuan, mendesak supaya merendahkan kedudukan Islam dan melemahkan Institusi Raja-raja Berperlembagaan secara senyap dan sindiran.

●     Kalau para Ulama PAS yang berjubah dan berserban turun ke medan bertanding pilihan raya menjadi calon, maka saya juga mencabar supaya mereka itu terjun ke medan politik bersama parti yang dipilihnya tanpa mencabut jubah Paderi yang dipakai itu.

●     Maka usaha meminggirkan Islam daripada Perlembagaan Persekutuan, melemahkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, melumpuhkan atau membatalkan institusi yang berkaitan dengan Islam hendaklah ditentang habis-habisan.

●     PAS tetap beristiqamah di atas dasar dan konsep tersebut walaupun menang atau kalah sehingga laksana burung yang bertongkat paruh sehingga akhir hayat.

Alhamdulillah, lanjutan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi ini Pekeliling Uskup BP/2018/014 dan Pekeliling Uskup BP/2018/015 kini telah tidak boleh diakses lagi dari laman-laman web yang mengeluarkannya sekali gus menunjukkan ‘izzah yang dipunyai oleh beliau.

Selain daripada itu, tindakan Bishop Bernard Paul dan Melaka Johor Diocese menyembunyikan tiba-tiba Pekeliling Uskup BP/2018/014 dan Pekeliling Uskup BP/2018/015 ini juga merupakan satu pengakuan bersalah daripada pihak mereka. Jika tidak mengandungi apa-apa kesalahan mengapa pula pekeliling ini disembunyikan?

Apa pun, saya telah merujukkan perkara ini dengan pihak berkuasa dan saya telah dimaklumkan bahawa tindakan menyembunyikan Pekeliling Uskup BP/2018/014 dan Pekeliling Uskup BP/2018/015 ini tidak akan menjejaskan siasatan yang dijalankan. Jangan bermain dengan api, kelak terbakar diri. – HARAKAHDAILY 17/4/2018