‘Peluk-peluk, lepas tu tumbuk balik’

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara bersahaja mengambil contoh pertarungan ahli gusti yang menumbuk semula selepas ‘berpeluk-peluk’ yang mengungkap sinis fitnah dan tohmahan pihak tertentu mengenai kononnya PAS ada hubungan dengan Umno.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada program Gelombang Hijau Perak PRU-14 di pekarangan SRITI At-Taalim, Seri Iskandar, Perak malam tadi. (Foto di atas daripada FB Tuan Guru)

Menurut beliau, prinsip PAS adalah bertolong-tolongan dalam perkara baik dan membangkang dalam perkara yang salah mengikut konsep taawun siyasi.

“GST kita bangkang, undang-undang bercanggah dengan Islam kita bangkang, isu Palestin kita bersama, isu Rohingya kita bersama, isu kemanusiaan kita bersama,” kata beliau yang disiarkan secara langsung di FB Live.

Tuan Guru juga menjelaskan isu berpeluk-peluk dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

“Ada orang kita kata tak boleh. Pasal apa berpeluk-peluk pulak. Pakai baju sama. Kita tengok orang main gusti, peluk-peluk lepas tu tumbuk balik. Biasa la tu, takkan tak boleh berpeluk-peluk,” ujar beliau sinis. – HARAKAHDAILY 17/4/2018