Realisasi Malaysia Sejahtera dengan Islam bersama PAS

najhan

FIRMAN Allah swt dalam surah Al Anbiya’ 105:

Advertisement

(وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ)

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.”

1. Islam adalah agama yang sempurna dan syumul meliputi segenap aspek kehidupan manusia.

2. Sumbernya adalah Al Quran dan Hadis yang dijamin tiada keraguan dan was-was dalam mengemukakan panduan, prinsip, pedoman dan solusi dalam segala hal yang melibatkan kehidupan di atas muka bumi.

3. Panduan Islam adalah jelas iaitu mensejahterakan dan memakmurkan bumi atau sesebuah negeri dan rakyat dengan Islam.

4. Islam telah terbukti suatu ketika dahulu pada zaman keemasannya tatkala 2/3 dunia ditadbir dibawah pemerintahan Islam dan aturannya. Kemajuan dan kehebatan ilmu, ekonomi dan sains dicapai hatta menjadikan Islam dan umatnya dihormati dan tempat rujukan serata dunia.

5. Pada masa yang sama, umat Eropah dan Barat masih hidup dalam kegelapan (Dark Ages) terkongkong dengan kepincangan agama yang diselewengkan oleh pendita dan rahib sehingga mereka sendiri menolak agama atas kekecewaan.

6. Tanah Melayu sendiri menyaksikan bagaimana Islam berdaulat dan menaungi seluruh rakyat menerusi pemerintah yang beriman dan soleh, melaksanakan hukum Allah dengan adil, memakmurkan negeri dengan sistem Islam dari segi ekonomi dan sosialnya. Ini terbukti dalam sejarah bagaimana indahnya Islam ketika pemerintahan kerajaan Islam berdaulat. Dari Kerajaan Islam Kedah, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Johor.

7. Sehinggalah penjajah menakluki seinci demi seinci tanah air kerajaan Islam ini termasuklah menakluki minda dan jiwa sanubari sebahagian penduduknya.

8. Ia mengakibatkan umat Islam jauh meninggalkan ajaran Islam, mengabaikan kebenaran ilmu Islam, sekali gus mencabut kuasa pemerintahan Islam daripada tangan umatnya.

9. Kuasa dan pemerintahan dipisahkan oleh penjajah dengan menanamkan dalam pemikiran umat Islam pemisahan antara kuasa pemerintahan dengan agama. Menjadikan agama Islam yang hanya berfungsi di lapangan upacara dan kerohanian sahaja berselindung sekadar di sebalik dinding masjid dan surau.

10. Implikasinya adalah sangat besar, apabila kuasa pemerintahan atau politik itu dianggap satu peluang sama ada untuk mendapat kemuliaan, atau mencari kemewahan, atau menindas mereka yang marhaen dan lemah, atau untuk menunjukkan kekuasaan.

11. Kuasa dan politik sudah jauh daripada matlamat asal khalifah iaitu untuk menguruskan negeri dan muka bumi dengan petunjuk Allah swt.

12. Natijahnya tiada lagi batas hukum yang menggerunkan jiwa dan menginsafkan penguasa atau pemerintah, sanggup melakukan apa saja untuk capai matlamat dan menghalalkan cara, malah menganggap ajaran agama Islam dan aturanya sebagai penghalang kemajuan dan punca kemunduran.

13. PAS tampil sebagai gerakan Islam dalam arena politik berperlembagaan dan memasuki pilihanraya sejak negara mencapai kemerdekaan bagi mengembalikan semula keizzahan dan peranan Islam sebagai sistem dan cara hidup yang ditinggalkan umatnya.

14. PAS adalah satu-satunya parti yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan serta meyakini hanya dengan Islam mampu membawa kesejahteraan rakyat dan negara ini.

15. PAS juga mengemukakan idea pemikiran islam dalam setiap langkah serta tawaran samada dalam menyusun dasar tatacara bernegara dan merencanakan solusi penyelesaian bagi setiap problema yang menyelubungi rakyat dan negara.

16. Dokumen Hijau (DH), Wawasan Induk Sejahtera (WINS) dan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) adalah contoh terbaik dan rujukan yang autentik berjaya dibuktikan oleh PAS bahawa Islam boleh dijadikan sandaran oleh rakyat dan negara ini tatkala segalanya buntu dalam mencari jalan keluar dari dilema dan problema.

17. Kemampuan PAS ini menjadikan PAS adalah parti yang unik dan berbeza dengan semua parti yang wujud dalam negara, kerana mereka masih dibelenggu dengan idealisme dan sistem yang sama ditinggalkan penjajah yang pastinya akan mengulangi kegagalan demi kegagalan walaupun hanya nama parti yang berbeza.

18. Umno BN dan Pakatan Harapan tetap dengan idealisme perjuangan yang berasaskan sistem pemikiran yang sama iaitu menolak fungsi Islam untuk berdaulat sebagai dasar bernegara.

19. Seluruh rakyat yang cintakan kesejahteraan dan kemakmuran negara, diseru bersama dengan PAS diyakini satu-satunya parti yang menjulangkan Islam sebagai wadah terbaik untuk rakyat negara ini yang berasal daripada petunjuk Sang Pencipta dan Penguasa. – HARAKAHDAILY 18/4/2018

Penulis adalah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat.