Ada cubaan untuk pinda Perlembagaan PAS

taki3

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan hari ini mengesahkan tentang cubaan untuk meminda Perlembagaan PAS oleh segelintir pemimpin PAS.

Advertisement

Menurut beliau, Perlembagaan PAS yang terakhir dipinda adalah pada 2011.

Ujar beliau, kemudiannya menubuhkan jawatankuasa untuk merangka draf cadangan pindaan yang dipengerusikan oleh bekas Naib Presiden PAS yang kini sudah lompat parti.

Jawatankuasa tersebut, katanya telah mencadangkan beberapa cadangan pindaan dan cadangan peruntukan baru kepada Perlembagaan PAS yang antaranya adalah mengurangkan kuasa Majlis Syura Ulamak.

“Kami boleh buktikan, kami ada bukti. Kalau ada pihak-pihak ini nak mengatakan tak ada, kami boleh buktikan. Kalau mereka mahu mereka boleh buat kenyataan sekali lagi, tak perlu cabarlah.

“Mereka boleh buat kenyataan baru yang mengatakan tidak ada. Kami mengesahkan bahawa ada. Kita ada bukti. Draf ini ada,” ujar beliau semasa sidang media khas di sini, hari ini.

Tambah beliau, antaranya adalah pihak jawatankuasa PAS Pusat boleh memecat ahli Majlis Syura.

Kata beliau, itu peruntukan yang dicadangkan oleh jawatankuasa itu.

Beliau menerangkan isu percubaan pindaan Majlis Syura Ulamak oleh pihak yang pernah berada dalam parti sebelum ini dan telahpun keluar.

Sebelum ini, jelasnya hanya Majlis Syura Ulamak yang boleh memecat atau menggugurkan ahlinya dengan sebab, sebagai contoh sakit atau tidak hadir.

Namun, ujarnya cadangan peruntukan baru adalah untuk menambah Jawatankuasa PAS Pusat boleh memecat ahli Majlis Syura Ulamak.

Tambahnya, Majlis Syura Ulamak merupakan badan tertinggi dalam PAS dan tugas mereka antaranya adalah untuk menilai sama ada sesuatu aktiviti atau pentadbiran itu menepati Perlembagaan PAS.

“Jadi ini apa lagi yang kalau kita nak kata kalau tidak ianya suatu langkah yang cuba untuk mengurangkan kuasa Majlis Syura Ulamak,” kata beliau menerangkan hasrat bekas Naib Presiden PAS tersebut.

“Pihak-pihak yang nak mencabar kita tu sila semak fakta anda sebab kadang tu ada yang saya tengok bercakap tu dia pun tak tahu walaupun dia pada masa itu pemimpin tertinggi PAS.

“Kalau berani, ulang lagi sekali,” cabar beliau kepada pihak-pihak yang memanipulasi isu Majlis Syura Ulamak tersebut. – HARAKAHDAILY 18/4/2018