PAS sasar pertanian makanan jadi pengeluaran utama

KUALA LUMPUR: Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS) menyasarkan untuk menjadikan pertanian makanan sebagai pengeluaran utama bagi negara Malaysia

Advertisement

Hal ini diutarakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Muhammad Sanusi Mohd Nor dalam program Bicara Malaysia Sejahtera, malam tadi.

“Kita lihat negara kita akhir-akhir ini bergantung sumber makanannya kepada import dan kita mungkin menghadapi masalah pada masa akan datang apabila banyak tanah-tanah kita lebih bertumpu pada komoditi yang tidak boleh dimakan, hanya untuk dieksport seperti sawit dan getah tapi kita mengabaikan aspek tanaman pertanian makanan,” ujar beliau.

Beliau juga menjelaskan bahawa LATAS mengadakan kempen kepada masyarakat bagi memasarkan produk tanaman ubi keledek variety sweet LATAS yang telah diusahakan oleh LATAS Negeri Terengganu.

Katanya, usaha yang dijalankan oleh LATAS adalah demi menjamin keselamatan makanan (food security) bagi seluruh rakyat Malaysia.

Dalam manifesto peringkat pertama, PAS meletakkan beberapa janji dalam hal pertanian seperti mewujudkan mekanisme yang lebih berkesan untuk membantu petani, penternak dan nelayan perseorangan memasarkan terus hasil keluaran mereka ke bandar-bandar besar yang diletakkan di dalam teras keempat. – HARAKAHDAILY 18/4/2018