Fenomena sertai PAS di Kelantan

PASIR MAS: Fenomena luar biasa berlaku di Kelantan sekarang ketika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) beriya-iya mahu menumbangkan kerajaan PAS.

Advertisement

Malam tadi seramai 168 ahli dan penyokong Umno di Dun Tendong keluar parti beramai-ramai dan menyerah borang menyertai PAS.

Mereka diketuai Yusof Wook, yang menyerah borang menyertai PAS kepada Naib Presiden, Dato’ Mohd Amar Abdullah sempena program ceramah di Bunut Susu.

Mohd Amar berkata, situasi yang berlaku di Kelantan begitu luar biasa kerana fenomena menyertai PAS berlaku di seluruh kawasan parlimen.

“Saya percaya ramai lagi akan mengikut jejak langkah bekas-bekas ahli Umno, PPBM, PAN dan PKR menyertai PAS.

“Malah malam 24 April ini lebih 100 lagi ahli dan penyokong Umno di Gua Musang juga akan menyerah borang menyertai PAS,” katanya.

Hadir sama pada ceramah itu Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Dato’ Hanifa Ahmad, Adun Tendong, Rozi Muhamad, Setiausaha PAS kawasan, Ustaz Suhaimi Daud, Mudir Pondok Gelang Mas, Tuan Guru Awang Yusof dan Presiden Pertubuhan R, Nazri Deraman.

Aktivis Umno, Sarmizi Mohd Zain berkata, keluarganya merupakan pendokong kuat Umno sejak zaman berzaman.

“Saya cemburu tengok program PAS sentiasa nampak meriah dengan kehadiran orang ramai. Pada kempen Pilihan Raya Umum lepas saya berada pada tempoh bertenang.

“Dan sekarang membuat keputusan meninggalkan Umno dan menyertai PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/4/2018