Gagasan akan hapus hutang PTPTN RM8b

KUALA LUMPUR: Gagasan Sejahtera (GS) akan menghapuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dalam manifestonya bagi membantu golongan muda khasnya graduan mengatasi kemelut hutang sebaik bergraduasi.

Advertisement

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mod Zuhdi Marzuki berkata demikian ketika berforum di Wacana Sinar ke-54: Manifesto Penentu Sokongan Pengundi yang bersiaran secara langsung di facebook Sinar Harian, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa pendidikan merupakan hak asasi kepada rakyat.

Ujarnya lagi, Akta PTPTN diperkenalkan pada tahun 1997 oleh Barisan Nasional di bawah Tun Mahathir Mohammad dan Datuk Seri Najib Razak pada ketika itu merupakan Menteri Pendidikan.

Katanya, Dasar Liberalisasi Pendidikan dengan diperkenalkan Akta IPTS (Institusi Pengajian Tinggi Swasta) pada 1996 dan Akta PTPTN pada 1997.

Terang Dr Zuhdi, bukan semua IPTS di Malaysia merupakan ‘genuine player’ dalam aspek akademik.

“Contoh Monash University. Monash University buka cawangan di Malaysia. Dia boleh buat sebab ada Akta IPTS. Saya rasa itu adalah ‘genuine player’ dan kita tahu ramai anak-anak orang kaya yang mereka tak dapat tempat di universiti, mereka hantar di Monash.

“Jadi bila kita letak buat cawangan di Malaysia, dia merupakan adalah satu peluang untuk kita menurunkan kos pendidikan. Kita tak perlu hantar ke Monash, mereka hantar di cawangan di Malaysia.

“Dengan sendirinya ia akan menjimatkan dan membangunkan ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau juga memberikan contoh Unisel dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebagai ‘genuine player’.

IPTS milik kroni

Beliau menyebut ada IPTS yang dimiliki oleh kroni yang memiliki lesen akademik, kroni zaman tu la,” katanya sinis.

Tambahnya, kroni-kroni memiliki lesen namun tidak memiliki infrastruktur yang mencukupi bagi membina sebuah universiti.

“Bila pada waktu tu kursus kejururawatan begitu hebat mereka buat bangunan untuk jururawat. Kursus kedoktoran dikatakan kosong, perlu ramai doktor, mereka buat fakulti perubatan atas rumah kedai, hospital tak ada, klinik pun tak ada,” ujarnya berkaitan IPTS yang dimiliki kroni.

Beliau juga menceritakan pengalamannya untuk mendapatkan lesen apabila kerajaan sudah membekukan lesen tersebut.

Menurutnya lagi, jawapan yang diterimanya bahawa beliau perlu beli daripada mereka yang sudah memiliki lesen.

“Kenapa dia ada lesen tak ada bangunan? Ini di antara persoalannya. Bagaimana mereka ini boelh hidup? Mereka boleh hidup sebab ada PTPTN.

“Mereka mendapat ‘fixed deposit’ daripada peminjam-peminjam PTPTN. Sebab itu mereka boleh hidup.

“Sebab itu Akta PTPTN ini saya cadangkan kena kaji balik, kena dikaji sebab ini bukan merupakan suatu perkara yang memberi kebaikan untuk rakyat tetapi memberi keuntungan kepada kroni-kroni,” katanya.

Ke arah pendidikan percuma

Beliau menjelaskan bahawa sebelum 1997, terdapat banyak biasiswa yang memberikan peruntukan untuk membayar yuran dan juga untuk menampung keperluan hidup pelajar.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, pendidikan percuma adalah yuran percuma di universiti dan kos hidup merupakan tanggungjawab ibu bapa yang menghantar anak mereka ke universiti.

Terang beliau, bagi ibu bapa yang tidak berkemampuan, mereka mesti ditolong dengan pemberian biasiswa dan sumbangan zakat bagi menampung kos sara hidup anak mereka yang belajar.

Katanya, bagi ibu bapa yang berkemampuan, mereka perlu menyimpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Tambahnya lagi, PTPTN telah mengeluarkan pinjaman hampir RM50 bilion yang sebahagian daripada sumbernya adalah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yana mana pencarum mereka adalah pekerja, ibu bapa dan sebagainya.

“Kemudian mereka berikan kepada PTPTN untuk menjadi modal memberi pinjaman. Kemudian PTPTN memberikan pinjaman kepada anak-anak muda.

“Anak-anak muda ini anak pencarum tadi, sebahagiannya anak pencarum, sebahagiannya ada mencarum KWSP. Bukankah ini suatu proses kapitalis yang pelik,” ujarnya.

Pencarum itu, kata beliau yang keluar duit bagi kepada PTPTN sementara PTPTN bagi pinjam kepada anak-anak mereka.

“Ini proses yang pelik, sebab itu dalam konteks ekonomi Islam tak ada proses ini. Kita kena adilkan proses ini,” tegasnya.

Solusi PTPTN daripada Gagasan Sejahtera

Beliau menjelaskan bahawa Gagasan Sejahtera mencadangkan untuk melupuskan hutang pinjaman PTPTN yang berjumlah RM8 bilion.

Katanya, sejumlah 663,000 peminjam PTPTN tidak pernah membayar walaupun sesen kepada PTPTN dan daripada jumlah itu 500,000 telah disenaraihitamkan.

Beliau berpandangan bahawa kerajaan perlu memberi pelupusan itu kepada rakyat.

“RM8 bilion sahaja, BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) baru RM6.7 bilion, bagi pelupusan supaya anak-anak muda selepas ini boleh membuat pinjaman Tekun, boleh buat pinjaman di bank tidak disenaraihitamkan, mereka boleh bawak jemaah umrah, nak pergi umrah pun kena tahan, tak boleh pergi.

“Jadi mereka boleh berniaga. Bila mereka berniaga, mereka akan memberi keuntungan kepada negara,” ujar beliau menjelaskan tentang kebaikan pelupusan hutang pinjaman PTPTN.

Beliau juga menjelaskan bahawa bagi mereka yang telah membayar hutang PTPTN, solusi daripada Gagasan Sejahtera adalah dengan memberikan insentif seperti pendahuluan rumah, diskaun perumahan kerajaan di bawah PRIMA. – HARAKAHDAILY 19/4/2018