PAS Wilayah boleh menang kerusi Parlimen

PAS

PAS Wilayah Persekutuan boleh memenangi lapan kerusi yang ditandingi jika pihak lawan sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan berpolitik secara bersih, bebas daripada fitnah dan rasuah.

Advertisement

Lapan Parlimen tersebut ialah Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Titiwangsa, Lembah Pantai, Batu, Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan.

Kebanyakan kerusi yang ditandingi PAS majoriti Melayu. Bagi Parlimen Batu, Melayu dan bukan Melayu dijangka sama banyak berikutan persempadan semula iaitu pemindahan 7,375 majoriti pengundi Melayu ke Wangsa Maju.

Pergolakan yang berlaku dalam Umno sehingga tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) boleh mengurangkan undi kepada BN.

Ramai menjangka pengundi Umno akan menyokong PPBM kerana skandal dalam kerajaan BN seperti isu Felda, 1MDB, RM2.6 bilion yang gagal dijelaskan bagi meyakinkan rakyat, namun tindakan Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad bersekutu dengan DAP menyebabkan orang Umno mencari alternatif lain.

Peluang ini yang perlu diambil kesempatan PAS kerana DAP bukan sahaja tidak suka Melayu malah buli Melayu sebagaimana didakwa Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial (PMSP), Ramesh Rao yang juga bekas ahli DAP.

Selain itu, isu kos sara hidup bebanan kenaikan harga barang akibat pelaksanaan GST, harga minyak tidak menentu, lebih banyak naik daripada turun atau stabil menjadikan BN tidak popular kepada rakyat.

BN gagal mengemukakan penyelesaian kenaikan harga barang sebaliknya mewujudkan program seperti Kedai 1Malaysia yang gagal kepada sasaran penduduk miskin dan luar bandar.

Akhirnya ia bukan penyelesaian menyeluruh berbanding dengan tawaran PAS yang mahu menghapuskan GST bagi mengatasi akar dan punca yang menyebabkan berlaku kenaikan harga barang.

Cukai GST yang memberi pendapatan negara akan diganti dengan cukai simpanan korporat dan cukai pegangan saham.

Dalam masa sama juga BN mungkin boleh menarik beberapa peratus undi Cina, bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak banyak menjalinkan hubungan dagang dengan China.

Dasar Najib itu boleh menawan sentimen orang Cina menyebabkan berlaku pengurangan undi Cina kepada Pakatan Harapan dan secara tidak langsung memberi kelebihan kepada PAS.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Mohamad Noor Mohamad berkata yang penting PAS perlu bekerja kuat memikat orang Umno keluar parti tetapi tidak berminat dengan DAP dalam Pakatan Harapan.

“Pergolakan dalam Umno dan pertelingkahan dalam Pakatan Harapan kerana masing-masing parti saling berebut hendak bertanding terutama PAN yang tidak mendapat satu kerusi di Wilayah, boleh menyedarkan orang PAS yang lari kepada PAN untuk kembali semula kepada PAS,” ujarnya ketika ditemui di Darul Ummah, di Pandan, Ahad lalu.

Menurut beliau, sebelum ini PAS menghadapi pilihan raya umum dua penjuru berdepan dengan BN, tetapi kali ini PAS bersaing tiga penjuru, namun ia bukan bermakna tidak memberi kelebihan kepada PAS.

Tiga penjuru bukan perkara baru kepada PAS kerana PAS melalui calon Md Azmi Lop Yusof pernah menang dalam pertandingan tiga penjuru melawan MCA dan Bebas daripada ahli DAP di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar, mempunyai 17 peratus pengundi Cina, pada 1999 dengan majoriti 511.

Bagaimanapun Wilayah Persekutuan yang mempunyai jurang komposisi kaum agak ketara iaitu Melayu sebanyak 36.62 peratus berbanding Cina 51.42 peratus, ia menjadi satu perjuangan yang sukar untuk meraih populariti undi.

Manakala masyarakat India sebanyak 10.51 peratus di Wilayah Persekutuan boleh menjadi penyumbang kepada kestabilan jika mahu mengurangkan penguasaan DAP di kota. – HARAKAHDAILY 19/4/2018