Bertanding menuruti keputusan jamaah

ALHAMDULILLAH, selesai sudah acara pengisytiharan calon PAS Negeri Perlis. Saya diamanahkan untuk bertanding di P.001 Parlimen Padang Besar.

Advertisement

Pertandingan ini adalah penglibatan saya yang pertama sebagai calon. Sebelum ini saya sering ditanya di mana saya akan bertanding. Namun saya jawab saya tidak tahu. Memang pun saya tidak tahu, walaupun saya salah seorang anggota mesyuarat Harian Negeri yang setiap kali bermesyuarat akan membincangkan agenda pilihan raya, calon dan apa-apa sahaja yang berkaitan.

Namun tidak pernah sekali pun saya bertanya kepada Harian Dun atau Parlimen mana yang diperuntukkan kepada Dewan Ulamak Negeri. Saya tak pernah ambil pusing di mana saya akan bertanding atau tidak. Bagi saya keputusan parti adalah berkat dan perlu diberi ketaatan. Sejak saya mengenal Usrah dan makna Walak, sejak itu saya amalkan dalam kehidupan saya.

Saya masih ingat. Ketika saya menyandang jawatan YDP PAS Kawasan Paya Besar. Ketika itu berlangsung PRU. Ramai sahabat-sahabat mencadangkan saya bertanding untuk Dun Penor (Sekarang Inderapura). Beralasan saya adalah YDP dan aktiviti kuliah saya juga di sekitar Penor, saya tinggal di Penor dan pondok saya juga di Penor.

Beberapa orang AJK Kawasan mendesak saya. Mereka sanggup keluarkan semua perbelanjaan. Dengan erti kata asalkan saya sanggup. Dalam waktu saya beristikharah, tiba-tiba saya mendengar ada orang yang berminat bertanding di situ.

Prinsip saya ialah, jika ada orang yang sanggup dan berkelayakan maka biarlah dia yang bertanding. Saya hanya akan bertanding jika tiada siapa yang sanggup. Daripada membiarkan parti musuh menang tanpa bertanding biarlah saya tawarkan diri. Murabbi saya pernah berkata; “Jika kita boleh masuk syurga dengan menyapu debu yang ada pada kasut pemimpin, maka buat apa lagi kita berhajatkan kerusi kepimpinan”.

Penarikan diri saya waktu itu telah menyebabkan beberapa orang AJK yang mendesak tadi menjauhkan diri dari saya. Mereka kecewa dan menganggap saya takut untuk terjun ke medan perjuangan yang sebenar. Beberapa kali lagi pilihan raya selepas itu saya masih tidak bertanding. Sama ada kerana saya menarik diri atas sebab-sebab yang sama atau kerana saya tidak pernah dicadangkan. Namun saya tetap berkerja untuk PRU sekadar kemampuan yang saya ada.

Begitu juga dengan PRU kali ini. Hingga saat akhir saya tidak pernah mahu tahu di mana nama saya dicalonkan. Hinggalah PAS Kawasan Padang Besar mencadangkan saya untuk P.001. Soalan pertama YDP Padang Besar kepada saya ialah di mana saya bertanding di Pahang? Saya jawab saya tidak tahu, namun setakat ini saya tidak dicalonkan di mana-mana kecuali sebagai calon kedua di Parlimen Bera.

Bagi saya nama pertama adalah lebih layak dan lebih wajar kerana beliau adalah YDP Kawasan Bera. Lalu Padang Besar mempelawa saya. Soalan pertama kepada YDP Padang Besar ialah, apakah tidak ada orang yang sanggup dan berminat bertanding di situ? Kerana seperti yang saya katakan di atas, jika ada orang lain, maka orang lain itulah yang lebih layak.

YDP memberitahu memang tiada sebarang nama di situ. Saya jawab, kalau begitu anta berbincanglah dengan PJ Negeri Perlis, maklumkan hasrat Padang Besar kepada PJ Pahang dan bertanyalah pandangan SUA dan Mursyidul Am. Jika semuanya ok, maka saya sanggup menerimanya. Keputusan dan persetujuan parti adalah keutamaan bagi saya.

Soal bukan anak tempatan, lokasi yang jauh dan calon last minit, itu bukan soal bagi saya. Bahkan angka majoriti yang besar yang diperolehi oleh calon BN dalam PRU ke-13 yang lalu, tidak sedikit pun menggusarkan saya. Bagi saya restu dan kehendak jamaah itulah barakah dan kejayaan. Insya Allah, dengan berkat dari Allah apa sahaja boleh berlaku. Mudah-mudahan P.001 akan memberikan kejutan dengan kemenangan yang besar bagi jamaah.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/4/2018