Menyediakan diri memikul taklifan parti

TENTUNYA bila kita bersedia menerima amanah parti untuk menjadi calon dalam pilihan raya, maka kita bersedia untuk menerima 360 darjah perubahan dalam hidup.

Advertisement

Rutin berulang-alik dari Kota Bharu ke Jabi sebelum ini insyaAllah akan bertukar kepada menetap terus di Jabi bila pengundi Jabi bersedia memberikan mandat kepada PAS. Komitmen ini tak perlu diragukan lagi. Biasa saja bagi seseorang calon PRU, asalnya mempunyai kerjaya di tempat lain. Apabila kita bersedia menerima amanah rakyat, bermakna kita telah bersedia menerima kehidupan baru.

Dari tahun 2005 lagi apabila pimpinan parti meminta saya bersedia untuk bertanding dalam PRU 2008 di Jabi, saya telah jadikan klinik saya antara yang perlu dikorbankan. Buka tutup tak menentu agar amanah parti mampu dilaksanakan sedaya yang mampu. Berulang-alik Kota Bharu ke Jabi saban hari dah jadi satu rutin biasa.

PRU 2008, Allah belum mengizinkan kemenangan. Kita terus bekerja tanpa noktah. Tahun 2013 kali kedua diberikan tanggungjawab bagi mewakili parti di Dun Jabi dan sekali lagi kemenangan belum diizinkan menjadi milik kita. Kesinambungan kerja ini masih tak berhenti sehinggalah ke hari ini.

Biarkan lawan nak jaja modal, ini calon nampak muka 5 tahun sekali. Ia tak menjadi kudis gatal bagi kita. Sekarang dunia maklumat tanpa sempadan. Buka laman muka buku saja, gambaran pergerakan kehidupan seseorang boleh diperolehi dengan mudah. Hakikat yang tak mampu ditutup dan dikelirukan.

Memanglah khidmat sebagai seorang pimpinan parti pembangkang tanpa sebarang elaun dan peruntukan tak akan sama dengan langkah kerja seorang wakil rakyat kerajaan dengan jumlah peruntukan mencecah jutaan ringgit setahun. Kita tak ada projek baru nak diumumkan. Kita tak ada majlis pecah tanah di sana sini.

Tetapi selama ini dengan kudrat yang ada, kita berbakti sedaya yang mampu. Khalayak masyarakat Jabi menjadi saksi akan segala sumbangan PAS di Jabi selama ini. Tentunya kita tak buat jalan raya, tak buat longkang, tak buat pasar, tak buat masjid, tak buat rumah kedai atau stesen minyak. Ini bukan kerja sebuah parti tapi ia urusan kerajaan.

Kita bersedia memikul bebanan amanah yang amat berat ini kerana sangat faham bahawa kita bukan bersendirian melaksanakannya. Tanggungjawab yang berat ini dipikul secara berjamaah. Seseorang calon bukan membawa misi peribadi tetapi membawa dasar dan manifesto parti. Tidak ada istilah pertembungan peribadi antara mana-mana calon dalam PRU kerana masing-masing calon membawa agenda parti yang diwakili.

PAS dengan dasar Islam nak mengajak masyarakat pengundi, mari bersama kita mencari kesejahteraan bersama Islam.

Calon dengan latar belakang pelbagai bidang pendidikan yang ditampilkan oleh PAS Terengganu secara khusus mengambarkan keseriusan kita untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selepas PRU 14.

DR AZMAN IBRAHIM 
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/4/2018