PAS dibuli dan dibeli

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) adalah mata rantai perjuangan Islam yang sempurna, bertali arus tanpa putus. Inilah peranan para anbia yang membawa Islam sejak Nabi Adam A.S sehingga Nabi Muhammad S.A.W, nabi terakhir dan pengikutnya.

Advertisement

Islam adalah petunjuk Allah yang sempurna, bukan sahaja mengenal Allah Tuhan Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Islam juga menunjuk cara beribadat kepada-Nya dan mengurus alam ciptaan-Nya. Islam adalah petunjuk dalam semua urusan manusia di alam dunia ini.

Manusia itu ditugaskan untuk mentadbir bumi, kerana sifat kejadiannya berakal, bertenaga jasad dan roh serta hidup bermasyarakat madani, dinyatakan sempadan kemampuan akal yang dibebaskan menggunakannya. Dalam perkara di luar kemampuan akal pula, dinyatakan petunjuknya secara nas yang nyata, sama ada melalui kitab yang diwahyukan atau Rasul yang dilantik dengan sifat keistimewaan, kebijaksanaan, akhlak mulia yang luar biasa, bermukjizat dan dikawal pula dengan wahyu tersebut.

Manusia yang diberi akal itu ada yang hanyut kerana menggunakan akal semata-mata dengan sifat kelemahan dirinya dan ada juga yang tidak sempurna akalnya. Kelemahan ini menjadikan manusia tidak tahu semuanya dalam kehidupan alam bumi dan dunia yang bercampur aduk makhluknya yang hidup dan bahan-bahan di atas bumi dan dalam perutnya.

Ada yang bersih, ada yang najis, ada yang penyakit, ubat dan racun. Semuanya mengandungi hikmat yang Maha Agung sehingga tidak ada yang sia-sia dalam ciptaan Allah. Bersih boleh dimakan, diminum dan menjadi pakaian, perhiasan dan berbagai-bagai kegunaan dan alat. Yang najis menjadi baja dan racun, kalau diadun secara saintifik dijadikan ubat atau membunuh serangga perosak.

Apabila ada kalangan manusia yang menolak petunjuk Allah yang dinamakan Islam, kerana dikira menyanggah nafsu dan kebebasannya, menyebabkan mereka menolak cara Islam, sama ada menggunakan akal semata-mata kerana merasa dirinya sangat bijak atau kerana tidak berilmu dalam semua perkara. Maka berlakulah perlawanan sejak zaman dahulu kala sehingga kini. Seringkali pihak yang menentang Islam itu membuli kumpulan Islam atau membelinya dengan kekayaan dan pangkat.

Rasulullah S.A.W. menegaskan apabila hendak dibeli dan dibuli;

“Kalau diletakkan matahari di kanan, bulan di kiri atau aku mati kerananya, nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini”

Maka kita pengikut Nabi Muhammad S.A.W yang menyambung perjuangannya, terlalu murah kalau boleh dibeli dengan kadar 90 juta sahaja atau sekadar ditawarkan dalam kabinet bayangan atau kabinet nyata sekalipun.

PAS berusaha sejak awal lagi bagi menunjukkan cara Islam memerintah dan mentadbir dengan beriman adanya dosa dan pahala, bukan sahaja dikawal oleh rakyat melalui konsep demokrasi yang boleh menolak kerajaan dalam pilihan raya dan adanya tindakan undang-undang terhadap salah laku dan salah urus negara dan negeri. Malahan konsep sekular menemui kegagalan apabila dipisahkan daripada agama.

Malangnya apabila PAS menegaskan bahawa politik dengan agama Islam tidak berpisah dan PAS pernah menang di Kelantan dan Terengganu sejak tahun 1959, kerajaan PAS dibuli oleh kerajaan pusat dan berusaha membeli pemimpinnya dengan berbagai-bagai cara. Ada yang dibuli sehingga ditahan, dibuang daerah, disogok, bahkan pengikutnya dibunuh dalam Peristiwa Memali. Ada juga yang dibeli dengan sogokan di peringkat kampung.

Walaupun ada yang dapat dibeli dan dibuli sehingga meninggalkan PAS dan jatuh kerajaannya di Terengganu tahun 1961 dan Kelantan tahun 1978, namun PAS terus hidup lebih subur dan lebih kuat bersambung generasi menerima serangan dan buli seterusnya.

Apabila menang semula di Kelantan sehingga kini dan Terengganu 1999-2004, memimpin Kedah 2008-2013, PAS terus dibuli dan dibeli, dikepung melalui pencabulan terhadap konsep federalisma melalui kekangan ekonomi, pentadbiran dan media sehingga dirampas Royalti Petroleum Terengganu dan dinafikan Royalti Kelantan dengan berbagai-bagai helah dan putar belit. Disekatnya pelaburan asing sehinggalah pembinaan lebuh raya yang menjadi kewajipan kerajaan pusat juga ditanguh-tangguh.

Tiba-tiba PAS pula dituduh tidak mampu mentadbir negeri dan kata-kata lain yang zalim. Namun PAS telah berjaya menunjukkan contoh pemimpin-pemimpin yang bersih rasuah dan tidak ada seorang pun disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malangnya PAS pula dituduh gagal dan lemah memerintah negeri. Padahal masalah yang ada pada hari ini adalah warisan daripada zamannya menjadi pemimpin dan menjaga kewangan negara. Masalah ekonomi yang menyusahkan rakyat, harta negara yang bocor, gejala dadah, sehingga berbagai ancaman keselamatan masyarakat adalah kesan daripada zaman pemerintahannya menjadi Perdana Menteri – Timbalan Perdana Menteri sejak 1982 dan beberapa penggal pilihan raya.

Penyakit yang ada pada hari ini bermula sejak sekian lama, bukan bermula setahun dua kebelakangan ini. Maka keluhannya laksana kata pepatah arab:

ضربني وبكى، ظلمني واشتكى

“Dia yang memukul saya dengan zalim, tiba-tiba dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, tiba-tiba dia pula yang mengadu dizalimi”

Percayalah bahawa pemimpin yang dapat meneruskan perjuangan bersama PAS ini beriman kepada baiah di hadapan Allah sehingga tahan dibuli dan tidak boleh dibeli, serta terus beristiqamah bersama Islam. Alhamdulillah mereka yang tidak sabar dibuli atau berjaya dibeli meninggalkan PAS.

PAS tegas bersama Islam, tetap percaya hanya Islam mampu menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, keamanan dan keselamatan. Hanya Islam adil untuk semua yang mampu menyatukan masyarakat majmuk berbagai agama dan bangsa.

Kalau PAS menang bersama Islam atau menjadi ‘King Maker’, PAS meletakkan syarat untuk bersama sesiapa sahaja yang menerima Islam. Sekiranya tidak ada pihak yang mahukan Islam, maka PAS terus menjadi pembangkang.

Kalau syarat Islam tidak ada siapa juga yang menerimanya, PAS tidak bersamanya. Sehinggalah kalau tidak ada satu kerusi pun yang dimenangi, PAS mampu hidup, rebah dan bangun bersama rakyat.

Bertemakan firman Allah:

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا (104)

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat atau berasa terhina) dalam perjuangan (mereka yang menentang kamu) itu; kerana kalau kamu menderita (sakit atau letih atau kehilangan harta atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada Hari Akhirat kelak kerana beristiqamah bersama Islam). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah An-Nisa’: 104)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Syaaban 1439 / 20 April 2018 – HARAKAHDAILY 20/4/2018