PAS tawar solusi atasi isu perumahan rakyat

TAKIRI2

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri menjelaskan PAS mempunyai solusi terbaik terhadap masalah perumahan yang dimasukkan dalam Manifesto Malaysia Sejahtera.

Advertisement

Katanya, dalam Islam disebutkan bahawa rumah sebagai salah satu sumber kebahagiaan manusia.

Menurutnya lagi, fakta daripada Bank Negara yang menyebutkan bahawa rumah di Malaysia tidak mampu dimiliki oleh rakyat sendiri dengan purata jualan rumah pada tahap RM313,000 sedangkan rumah mampu milik hanya sekitar RM282,000 sahaja.

Katanya, rumah mampu milik itu pun hanya mampu dimiliki oleh isi rumah yang pendapatannya sekitar RM7,000 hingga RM8,000.

Beliau menyebutkan bahawa antara solusi daripada Bank Negara Malaysia adalah dengan pemberian tanah awam.

Tawaran PAS kepada rakyat

“Kita di peringkat PAS, di Negeri Terengganu kita tawarkan manifesto 20 yang awal juga ialah hak rakyat untuk mendapat lot kediaman secara percuma.

“Bila kita bagi lot kediaman tadi memberi peluang untuk dia mendapat kediaman dengan harga yang rendah kerana kita dah selesaikan harga tanah tadi,” ujarnya dalam siaran langsung di facebook hari ini.

Tambahnya lagi, Manifesto Terengganu ini juga selari dengan Manifesto PAS Pusat yang meletakkan sekiranya PAS memerintah maka Kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membuka tanah rancangan baru.

Mengulas lanjut beliau berkata, tanah rancangan baharu ini adalah penempatan-penempatan baharu yang bersifat kampung yang bukan sahaja akan memberi rumah kepada rakyat malah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Untuk Negeri Terengganu sebagai contoh, kita tawarkan mereka berhak untuk mendapat pinjaman bagi membina rumah dengan kadar sekitar RM65,000. Ini untuk B40, mereka yang pendapatan RM5,000 ke bawah secara ‘Qardhul Hasan’, pinjaman tanpa sebarang faedah,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 20/4/2018