Presiden PAS seru rakyat keluar mengundi PRU14

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyeru kepada seluruh rakyat yang layak mengundi terutama kepada anak-anak muda agar dapat membuat perubahan.
 
Katanya, peluang mengundi itu merupakan satu tanggungjawab terutama kepada orang Melayu Islam di negara ini.
 
Menurutnya, rakyat negara ini telah lama memberi masa dan peluang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.
 
“Kita minta rakyat beri kepercayaan kepada PAS. Kerah orang muda-muda supaya mengundi. Orang muda-muda jangan tak semangat mengundi. Ini kerana, dalam kajian yang kita buat 40 peratus lebih orang muda yang (boleh) mengundi. 
 
“Apatah lagi, orang Melayu, orang Islam kena mengundi. Kita kena guna hak kita (rakyat) mengundi sebagai satu tanggungjawab. Orang muda kena buat perubahan bersama dengan PAS dan beri peluang kepada PAS memerintah, InsyaAllah,” tegasnya dalam satu Ceramah Umum PRU14 di Markaz PAS Kampung Rawai, Alor Limbat, di sini kelmarin.
 
Dalam masa yang sama, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, saingan PAS dari gabungan Pakatan Harapan juga tidak boleh diharapkan bagi membela rakyat.
 
“Barisan Nasional (BN) kita (rakyat) sudah beri masa, peluang 60 tahun lebih (memerintah). Pakatan Harapan tidak boleh harap kerana orang (pemimpin) di dalamnya itu pernah mengalami hal-hal dalam masa dia memerintah.
 
“Pilihan raya ini akan berlawan tiga pihak antara Barisan Nasional dan parti baharu Pakatan Harapan yang menggabungkan Parti KeADILan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP dan parti kita, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersama Gagasan Sejahtera (GS),” jelasnya.
 
Menurutnya, pendekatan PAS masa kini memperkenalkan kepada rakyat tentang agenda menyelesaikan segala masalah negara dengan Islam.
 
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman dan Pengarah MTD Alor Limbat, Ustaz Ahmad Maarof.
Advertisement