Salam perjuangan penuh rahmat buat semua calon PAS

“PERGILAH kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Advertisement

[at-Taubah: 41]

Malam 19 April telah menjadi sejarah PAS untuk PRU-14 kali ini apabila Majlis Pengisytiharan Calon-calon PAS diumumkan di seluruh negara kecuali Sarawak, Sabah dan Kelantan yang akan diumumkan masing-masing pada 21, 22 dan 25 April akan datang.

Seperti mana yang telah Allah S.W.T tetapkan dalam Surah at-Taubah ayat 41, sudah pasti pelbagai perasaan bercampur-baur dalam diri setiap calon. Amanah dan tanggungjawab sebagai calon mewakili PAS baik di peringkat Dun mahu pun Parlimen keduanya membawa satu visi dan matlamat yang sama iaitu memenangkan PAS dan Gagasan Sejahtera.

Ustazah mewakili seluruh kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan “Salam Perjuangan” buat semua sahabat terutama Muslimat yang telah terpilih menjadi calon di negeri masing-masing.

Besarlah harapan Ustazah agar kesemua calon yang telah menerima Watikah Calon dan berbaiah, beriltizam penuh kesungguhan untuk melaksanakan segala gerak kerja sebelum, semasa dan selepas PRU dengan sehabis daya.

Pasakkan niat yang kukuh segalanya hanya kerana Allah S.W.T, bukan kerana nama, pangkat, harta dan segala bentuk fatamorgana dunia yang hanya sementara nikmatnya.

Ustazah juga berharap kesemua calon ini termasuk yang akan diumumkan nanti agar sentiasa menguatkan tekad, sabar dan tabah untuk menghadapi hari-hari mendatang terutama dalam tempoh berkempen selepas sahaja Hari Penamaan Calon pada 28 April. Ingatlah bahawa kita semua tidak hanya membawa nama masing-masing, tetapi kita membawa bersama nama Parti Islam Se-Malaysia dalam setiap langkah dan gerak kita.

Di samping itu, kepada seluruh jentera Muslimat PAS khususnya teruskan perjuangan ini sehingga tarikh 9 Mei nanti. Seharusnya momentum gerak kerja kita meningkat demi untuk melihat tertegaknya Islam di Malaysia yang kita cintai ini. Teruskan bermunajat, memohon dan merayu kepada Allah S.W.T agar kita semua diberikan kemenangan dalam PRU kali ini.

Akhir kalam daripada Ustazah, “Siiruu ‘ala barakatillah”, “Fii hifzillah” buat semua calon dan jentera seluruh Malaysia. Semoga Allah berkati, rahmati dan redhai jalan perjuangan kita ini insyaAllah. Moga diberikan kita kejayaan dan kecemerlangan dunia dan akhirat.

NURIDAH MOHD SALLEH 
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 April 2018 bersamaan 4 Sya’ban 1439 – HARAKAHDAILY 20/4/2018