PAS kecam pembunuhan imam Palestin

PAS mengecam pembunuhan ke atas Dr. Fadi M. Albatsh, imam Palestin yang juga pensyarah Universiti Kuala Lumpur, ketika dalam perjalanan menunaikan solat subuh di surau kawasan kediamannya hari ini.

Advertisement

Kita mengucapkan takziah kepada ahli keluarga almarhum dan akan membantu mengambil tanggungjawab menyelesaikan urusannya.

Kita sedih dengan pembunuhan warga Palestin yang berlaku di Malaysia. Sepatutnya kita memberi perlindungan dan jaminan keselamatan kepada mereka.

Asas bahawa berkemungkinan Mossad dan Zionis sedang berkeliaran dan menembusi sempadan negara adalah sangat mengganggu ketenteraman rakyat negara ini.

Apatah lagi sekiranya dilihat pada sejarah lalu, telah menjadi amalan Mossad untuk melakukan pembunuhan terhadap pimpinan umat Islam di seluruh pelosok dunia termasuk di negara barat, sebelumnya di Emirates, Tunisia dan Beirut. Kita percaya apa yang berlaku ini ada kaitan dan dalang di sebaliknya.

Kerajaan perlu melakukan penyiasatan terhadap pembunuhan tersebut dan mengingatkan berhati-hati dengan Israel yang mengamalkan keganasan dan dilindungi oleh kuasa-kuasa besar. Kerajaan mesti berani dan jangan takut dengan sebarang tekanan.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 4 Syaaban 1439 / 21 April 2018 – HARAKAHDAILY 21/4/2018