Jasa PAS kepada rakyat Terengganu

KUALA LUMPUR: Setiausaha politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerangkan hal yang dilaksanakan oleh PAS sepanjang memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Advertisement

Beliau menerangkan bahawa PAS banyak melaksanakan perkara yang memberi kebaikan kepada rakyat sepanjang memerintah Terengganu.

Antara perkara yang telah dilaksanakan oleh PAS sepanjang memerintah Terengganu adalah:
1. Memansuhkan tol di atas Jambatan Sultan Mahmud
2. Cuti 90 hari buat isteri bersalin dan suami 7 hari
3. Mengecualikan semua cukai pintu kediaman di Terengganu dan melupuskan semua tunggakan (sekitar 30 juta)
4. Hapus cukai bakul yang membebankan rakyat
5. Membina 10,236 buah unit rumah dengan harga jualan maksimum RM30,000 seunit
6. Meluluskan Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah pada 2002 yang mengambil masa kajian 3 tahun
7. Kutipan zakat pada pemerintahan Kerajaan PAS Negeri Terengganu meningkat berkali ganda
8. Mengurangkan kadar kemiskinan rakyat daripada 17.3% kepada 10.6% dalam masa setahun
9. Meningkatkan hasil hutan, Kerajaan Terenggau Berjaya memungut premium pembalakan sebanyak 60 juta bagi 15,600 hektar berbanding Umno yang hanya Berjaya memungut 17 juta dengan keluasan yang sama

Membawa paradigma baru politik

Beliau menjelaskan bahawa PAS membawa sebuah perubahan dalam arena politik tempatan apabila menubuhkan Gagasan Sejahtera.

Terang beliau, persepakatan sebelum ini seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) hanya dianggotai oleh parti politik.

“Nak lakukan perubahan dalam negara kita ini, adalah tanggungjawab siapa? Tanggungjawab parti politik sajakah?

“Tanggungjawab melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dalam negara kita ini adalah tanggungjawab semua pihak sama ada yang menganggotai parti politik atau pun yang tidak menganggotai parti politik atau pun orang perseorangan hatta orang kampung yang tidak boleh menulis dan membaca.

“Semua ada peranan masing-masing yang penting dalam sesebuah negara,” katanya.

Beliau yang juga merupakan calon bagi Dun Rhu Rendang pada PRU14 berkata demikian dalam Program Pidato Perdana Ke Arah Malaysia Yang Sejahtera yang diadakan di Taman Matang Jaya, Petrajaya, Sarawak yang bersiaran langsung.

Katanya, Gagasan Sejahtera adalah unik disebabkan oleh keanggotaannya bukan sekadar parti politik malah NGO (pertubuhan bukan kerajaan). – HARAKAHDAILY 22/4/2018