Menolak tawaran selain Islam

DALAM usaha ke arah membentuk Negara Islam Madinah, selepas ditolak dakwahnya oleh penduduk Makkah dan Thaif, Baginda S.A.W tidak berputus asa dan terus mencari mad’u yang lain. Allah menggembirakan Nabi dengan Peristiwa Israk Mikraj menjadikan Baginda lebih bersemangat.

Advertisement

Perjalanan diteruskan dengan bertemu beberapa Kabilah yang berada di sekitar Makkah antaranya Kabilah Bani Kilab, Bani Hanifah, Bani ‘Amir dan Bani Syaiban. Kesemuanya menolak dakwah Nabi, ada yang menolak dengan keras dan maki hamun, ada yang menolak secara baik, dan ada yang melakukan ‘nego‘ dengan Nabi.

Antara yang cuba tawar-menawar dengan Nabi ialah Kabilah bani ‘Amir. Salah seorang dalam kalangan mereka iaitu Baiharah bin Faras bertanya:

Apa pandanganmu kalau kami berbai’ah dengan kamu untuk bersama urusanmu, seterusnya Allah memberi kemenangan kepadamu, adakah kami pula yang menjadi pemimpin selepasmu?”

Rasulullah menjawab:

“Perkara itu terserah pada Allah, ia akan meletaknya menurut kehendakNya.”

Baiharah menjawab:

“Adakah kami akan mendedah leher kami untuk kepentingan kamu, setelah Allah memberikan urusan kepimpinannya kepada orang lain? Oleh itu kami tidak berhajat untuk bersama kamu.”

Sekali lagi dakwah Nabi ditolak. Selepas sekian kali dakwah dan ajakan Nabi ditolak, barulah Allah datangkan kepada Baginda Kabilah Aus dan Khazraj yang datang daripada bumi Yathrib mengerjakan Haji di Makkah untuk menerima Islam.

Pengajaran utama

●    Menjadi Muslim tidak sekadar cukup kita solat, berpuasa, zakat dan haji tetapi mesti membantu sebarkan Islam. Nabi S.A.W bersungguh bertemu pelbagai Kabilah bukan semata-mata untuk ajak solat dan duduk di Masjid bahkan tugas utama kita adalah mencari pendukung Islam. Sebab itulah Israk Mikraj juga disebutkan sebagai muqaddimah kepada pembentukan Negara Islam Madinah.

●     Tidak bermudah-mudah menerima tawaran orang bukan Islam. Ketegasan dalam berdakwah adalah dengan dasar Islam, bukan material. Manifestonya mestilah terima Islam sepenuhnya, bukan menempel dan meletakkan macam-macam syarat. Apatah lagi syarat tersebut adalah kerusi politik seumpama Bani ‘Amir hanya semata-mata umpan undi.

●     Jangan berputus asa dalam berdakwah. Apabila dakwah kita ditolak, bukan bermakna kita gagal, bahkan barangkali Allah akan menemukan kita dengan orang yang lebih mudah menerima Islam seumpama Aus dan Khazraj.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN 
22 April 2018 – HARAKAHDAILY 22/4/2018