Kerajaan bebas rasuah ke arah negara sejahtera

asriDiwani

MEMILIH kerajaan adalah soal yang sangat penting dan besar dalam kerangka PRU-14 yang semakin hampir ini. Ini kerana kerajaan adalah pemacu kepada negeri dan negara yang ditadbir. Bumi Malaysia ini yang kaya dengan sumber alam seperti getah, petroleum, bijih timah serta sektor pertanian dan perladangan sepatutnya dibangunkan dengan lebih baik dan terurus.

Advertisement

Namun sehingga kini, amat mendukacitakan apabila Laporan Bajet Kerajaan menunjukkan kerajaan masih berboros dalam berbelanja sehingga berlaku belanjawan defisit 18 tahun berturut-turut dan masih berlaku ketirisan dalam pengurusan perbelanjaan negara sehingga dianggarkan antara RM 23 billion hingga RM 40 billion setahun sebagaimana semakan berdasarkan Laporan Audit Negara.

Kerangka sebuah kerajaan yang terbaik adalah kerajaan yang menepati kepada kriteria yang disebutkan oleh Allah iaitu pemimpin serta penduduknya yang beriman dan bertakwa. Kriteria ini jelas menyelesaikan permasalahan semasa negara dan mengundang keberkatan yang banyak.

Firman Allah S.W.T:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

[al-A’raf: 96]

Takwa tidak hanya terhad kepada rakyat sahaja malah ia lebih menjurus kepada para pemimpin kerana merekalah yang memacu urus tadbir sesebuah negara tersebut. Sifat iman dan takwa ini akan membendung sikap yang dilarang oleh syarak dan tindakan yang mendatangkan kerosakan ke atas negara.

Dalam pembentangan di Parlimen baru-baru ini mendapati laporan SPRM sejak tahun 2013 lagi tiadanya kepimpinan PAS yang terlibat dalam kes rasuah sementara pimpinan BN sebanyak 71 kes dan PH sebanyak 21 kes.

Fakta ini sepatutnya membuka mata rakyat di mana permasalahan negara adalah ekoran sikap integriti dalam kerajaan yang sedia ada. Sedangkan di Kelantan, selama 27 tahun PAS memerintah, masih lagi berjaya mengekalkan rekod sifar rasuah.

Rasuah adalah barah kepada negara dan perosak ekonomi. Sikap ini jika diteruskan akan lebih membarahkan keadaan yang sedia ada. Sebab itu rasuah ini merupakan salah satu dosa besar yang diancam dengan neraka.

Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

الراشِي وَالْمُرْتَشِي فِي النَّار

“Pemberi dan penerima rasuah (balasannya) di dalam neraka.”

[Riwayat al-Tabarani]

Dalam membina negara sejahtera, memilih kerajaan yang bebas rasuah adalah pilihan yang adil dan bijak. Kerajaan bebas rasuah merupakan hasil dari sifat iman dan takwa yang ada dalam seseorang pemimpin dan sesebuah kerajaan. Justeru, model yang sudah ada di Kelantan mesti dikekalkan malah perlu diperluaskan ke semua negeri dan juga di peringkat Persekutuan.

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

6 Syaaban 1439H / 22 April 2018 (Ahad)

Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 23/4/2018