PAS gesa naik taraf jalan Temerloh – Maran

TEMERLOH: Jalan utama negeri antara Temerloh dan Maran memerlukan perhatian pihak berwajib untuk diselenggara dan dinaiktaraf mengikut keperluan semasa pengguna jalan raya.

Advertisement

Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Temerloh, Hasnuddin Salim berkata, jalan tersebut telah menjadi perhubungan utama penduduk Seberang Temerloh, Paya Pulai hingga ke Bandar Maran.

Beliau mengutarakan hal tersebut semasa melakukan tinjauan aduan penduduk di persimpangan Taman Seberang Temerloh, Taman Tinah dan Kampung Paya Jauh, di sini semalam.

Jelas beliau, keadaan semasa struktur jalan tersebut telah menimbulkan isu keselamatan dan kesulitan kepada pengguna menghadapi arus trafik persimpangan tersebut, sekali gus membimbangkan mereka.

Apatah lagi ujarnya, dengan pelbagai prasarana seperti sekolah, stesen minyak, masjid dan taman perumahan terbina sepanjang jalan itu, menjadikan kesesakan lalu lintas sering berlaku.

Terang Calon PAS N.32 Dun Kuala Semantan itu, arus trafik yang sangat tinggi melibatkan sepanjang persimpangan di situ menggusarkan penduduk dan memberi kesan kepada mereka.

Beliau dalam pada itu juga memberi jaminan untuk menyelesaikan isu tersebut berasas tawaran Manifesto PAS Pahang untuk menaiktaraf jalan negeri jika PAS diberi mandat mentadbir negeri itu.- HARAKAHDAILY 23/4/2018