PAS Sabah lakar sejarah tanding di 26 kerusi

PUTATAN: PAS Negeri Sabah melakar sejarah tersendiri apabila mengumumkan bakal bertanding di 26 kerusi meliputi lapan Parlimen dan 18 Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Advertisement

Penyertaan tersebut merupakan yang terbanyak dalam sejarah PAS di negeri ini apabila menampilkan 17 calon muka baru disamping menambah kawasan tanding sebanyak enam Parlimen dan sembilan Dun berbanding PRU13 hanya dua Parlimen, sembilan Dun.

Satu daripada kerusi tersebut iaitu N.07 Dun Kadamaian dalam P.169 Parlimen Kota Belud yang bakal ditandingi calon bukan Islam beragama Kristian iaitu Satail Majungkat, 61 berketurunan Rungus.

Disamping itu, PAS turut menampilkan dua calon wanita iaitu Norsah Bongsu, 47 yang merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah bagi P.185 Parlimen Batu Sapi dan N.44 Dun Karamunting serta Dausieh Queck, 38 bagi N.03 Dun Pitas.

Senarai tersebut telah diumumkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu sidang media yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling, di sini semalam.

Menurut Tuan Guru, melalui penyertaan ini PAS mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi dengan menampilkan strategi mendekati rakyat melalui Islam yang adil.

Katanya lagi, walaupun di Sabah ada banyak parti pembangkang, tetapi PAS memiliki pengalaman dan strategi mendekati pengundi selain memiliki jentera yang kemas di setiap peringkat berbanding parti lain.

Selain itu, PAS Sabah kali ini turut mempertaruhkan calon termuda di Malaysia iaitu Jumaidin Lakalla, 26 yang bakal menggalas amanah bertanding di  N.47 Dun Kuamut dalam Parlimen Kinabatangan.

Tujuh kerusi Parlimen yang lain pula ditandingi oleh calon pelbagai latar belakang yang diketuai oleh Pesuruhajaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling (P.170 Tuaran), Ag. Laiman Ikin (P.169 Kota Belud), Zulzaim Hilmee Abidin (P.173 Putatan), Ramli Pataruddin (P.188 Silam), Abdul Nasir Ab Raup (P.189 Semporna), Mohamad Husain (P.190 Tawau) dan Norbin Aloh (P.191 Kalabakan).

Sementara itu, 14 kerusi Dun lain yang ditandingi PAS pula diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah (Merotai N.58) Sahar Abdul Majid (N.43 Sekong), Aliasgar Omolong (N.02 Tanjong Kapor), Ustaz Mustaqim Aling (N.06 Tempasuk), Adzmin Awang (N.08 Usukan) dan Aspar Oyet @ Akbar (N.12 Karambunai).

Juga Hamid Ismail (N.17 Tanjong Aru), Kasman Karate (N.51 Kunak), Abdul Nasir Ab Raup (N.52 Sulabayan), Mahamod Sarahil (N.54 Bugaya), Amboase Ramano (N.55 Balung), Daud Jalaluddin (N.56 Apas), Usman Madeaming (N.59T anjong Batu) dan Ustaz Roslan Ramli (N.60 Sebatik). HARAKAHDAILY 23/4/2018