PRU14: Ubah, transformasi, reformasi atau revolusi

KHALIL3

KUALA LUMPUR : Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa perubahan sesuatu negara itu hendaklah mempunyai dasar, pemimpin dan cara yang benar.

Advertisement

“Islam mengajarkan kepada kita supaya perubahan yang hendak dilakukan mestilah mempunyai dasar yang benar, dibawa oleh orang yang benar dan dengan cara yang benar,” katanya pada program Town Hall Anak Muda anjuran Jabatan Professional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia (JPro) di Bangi, semalam.

Tambah beliau, semua parti melaungkan kata-kata perubahan terhadap Malaysia.

Katanya lagi, angin perubahan itu jika tidak mempunyai sandaran dan komitmen yang kukuh bakal membawa negara ke arah yang lebih binasa.

“Ramai orang bercakap soal perubahan. Pelbagai terma digunakan untuk memastikan persoalan tadi terjawab.

“Dengan suntikan emotional sehingga membuahkan semangat masyarakat. Reformasi, transformasi, ubah, revolusi dan pelbagai lagi,” katanya yang merupakan calon Dun Batu Burok, Terengganu pada PRU14 ini.

Katanya lagi, kebaikan (perubahan) mungkin kelihatan pada awalnya, tetapi sedikit demi sedikit muncul kerosakan yang membawa kesengsaraan jangka panjang.

Beliau juga turut menegaskan jika rakyat ingin melakukan perubahan haruslah bukan dalam suasana penuh beremosi.

Malah beliau, menasihatkan rakyat tidak termakan laungan-laungan kosong.

Justeru, rakyat disarankan agar melihat kepada dasar, komitmen pemimpin dan kaedah penyelesaian permasalahan negara.

Rakyat detik ini sedang menghitung hari membuang undi pada 9 Mei 2018. Pilihan Raya Umum Ke-14 kali ini bakal menyaksikan kali pertama di tanah air berlaku pertembungan tiga blok politik peringkat nasional.

Pertembungan tiga blok gergasi ini bakal membuka lembaran dan lanskap politik baru di Malaysia. – HARAKAHDAILY 23/4/2018