Bertanding PRU14: Duit PH datang dari mana?

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melontar pertanyaan dari mana datangnya duit Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding pada Pilihan raya Umum e-14 (PRU14) ini.

Advertisement

Beliau sebelum itu menyatakan bahawa PAS merupakan parti yang bergerak di atas sumbangan rakyat.

“Kalau orang tanya, duit sumbangan daripada mana, daripada rakyat. RM90 juta daripada rakyat.

“Ahli PAS ada satu juta, sekarang satu juta. Kalau ahli PAS bagi satu ringgit sudah satu juta. Ada ahli PAS yang sudah berjaya dalam perusahaan dan dalam berbagai-bagai. Ada yang bagi ribu-ribu. Jangan pelik PAS dapat, sikit sangat RM90 juta.”

“Yang Pakatan Harapan ni, yang baru tubuh, dari mana duit dia nak bertanding. Ni tanya, biar dia jawab,” kata beliau berkaitan soal kewangan Pakatan Harapan yang menjadi tanda tanya,” ujarnya dalam program Ceramah Perdana Jelajah Presiden PAS & Munajat PRU 14 yang diadakan di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor, malam tadi yang disiarkan secara langsung. (Foto di atas daripada Facebook Tuan Guru)

PAS sebelum ini banyak dipersoalkan berkaitan sumbangan terhadap parti dan juga tuduhan menerima RM90 juta yang sudah dibawa ke mahkamah di London dan dijadualkan perbicaraan pada 30 April ini. – HARAKAHDAILY 25/4/2018