Calon P.083 Kuantan yang saya kenali

SEWAKTU baru balik dari pengajian pada tahun 1997, saya dan beberapa orang rakan berbincang untuk menubuhkan Cawangan PAS Kampung Seri Damai, lalu kami mulakan kerja-kerja merisik dan mengenali penyokong PAS di Kampung Seri Damai.

Advertisement

Lalu saya mendapat maklumat tentang beliau, saya belum mengenali beliau pada ketika itu, saya menjejaki beliau dan menziarahi rumahnya. Alhamdulillah hasil perbincangan beliau bersetuju untuk sama-sama berusaha menubuhkan Cawangan PAS di Kampung Seri Damai.

Beliau berusia awal 30-an dan masih lingkungan akhir 20-an. Beliau telah pun menjadi ahli PAS pada ketika itu, kami bersama-sama berusaha mencari ahli dan akhirnya kami berjaya menubuhkan Cawangan PAS Kampung Seri Damai dan beliau telah dilantik menjadi Ketua PAS Cawangan Kampung Seri Damai yang pertama.

Beliau dikenali sebagai Cikgu Sulaiman kerana beliau memiliki pusat pengajian sendiri, beliau memiliki Ijazah Pertanian dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) sekarang dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia. Kami juga telah dipilih untuk memegang jawatan di peringkat Kawasan Paya Besar.

Di usia muda beliau telah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar dan saya pula telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Paya Besar. Beliau juga telah dipilih sebagai untuk bertanding pada PRU10 di kerusi Dun Sungai Lembing.

Setelah berlaku persempadanan baru, kami sama-sama pula berada di dalam PAS Kawasan Kuantan. Beliau sekali lagi diberikan tanggungjawab untuk bertanding di Dun Sungai Lembing, meskipun tewas beliau tetap Istiqamah untuk bersama di dalam kepimpinan PAS Kawasan.

Pada PRU14 kali ini, kami bagi pihak PAS Kuantan telah mengangkat beliau sebagai calon P.083 Kuantan, komitmen beliau di dalam parti dan kepimpinan PAS Kawasan menjadikan kami yakin beliau mampu untuk menggalaskan tugasan ini dengan baik.

Kami juga yakin bahawa beliau akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik jika diberikan kemenangan di Parlimen Kuantan. Beliau yang tinggal di Kampung Peramu adalah warga Kuantan dan sangat dikenali oleh penduduk setempat dan sering bersama saya dalam program ziarah rakyat dan program kemasyarakatan.

Walaupun beliau memiliki Ijazah di bidang pertanian dan sekarang terlibat di dalam bidang perniagaan namun beliau juga mampu untuk berkuliah di masjid dan surau dan sering diundang untuk menyampaikan kuliah. Kerana inilah beliau cukup dikenali oleh sebahagian masyarakat Kuantan.

Beliau adalah calon terbaik dari PAS Kuantan, dengan kesungguhan, kegigihan dan komitmen beliau dalam membangunkan parti dan masyarakat, InsyaAllah dengan izin Allah beliau akan diberikan kemenangan di P.083 Kuantan.

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Kuantan 
YDP PAS Kuantan – HARAKAHDAILY 25/4/2018