Panduan wahyu dalam memilih Wakil Rakyat

BAB 1: MUKADDIMAH

Advertisement

● Parti lebih aula dari calon
     Sebelum memulakan perbincangan, terlebih dahulu ingin ditekankan bahawa saya lebih cenderung kepada pemilihan berasaskan parti berbanding calon. Principal base or ideological base, not individual base. Walaubagaimanapun tulisan tidak bertujuan untuk membincangkan berkenaan perkara ini.

     Dalam masa yang sama, saya menghormati mereka yang memilih berasaskan calon. Mungkin mereka memiliki pandangan tersendiri. Justeru tulisan ini sebagai panduan untuk mereka yang cenderung kepada pandangan sedemikian.

● Kerajaan adalah milik rakyat – Demokrasi
     Saya juga telah menyatakan dalam artikel sebelum ini pandangan berkenaan penerimaan demokrasi di dalam Islam. Ia berasaskan wasilah, adat dan darurat.

     Mengikut sistem demokrasi, kerajaan adalah milik rakyat. Pilihan raya pula adalah medan untuk rakyat menggunakan kuasa mereka menentukan siapa kerajaan. Di dalam Islam, Tuhan mewajibkan supaya setiap amanah diserahkan kepada orang yang layak. Firman Allah S.W.T:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
[An-Nisa’: 58]

     Menurut Mujahid, ayat ini turun bagi memerintahkan umat Islam menyerahkan tugas memegang kunci Kaabah kepada Uthman bin Talhah, yang membawa beliau memeluk Islam. Walaubagaimanapun, ayat tersebut mengguna lafaz umum, memaksudkan semua bentuk amanah. Maka sudah tentu pemilihan wakil rakyat termasuk di dalam maksud ayat ini.

 

BAB 2: KRITERIA CALON DI DALAM AL-QURAN

Al-Quran memberikan tiga contoh pelantikan seseorang yang disertakan dengan ciri-ciri yang perlu ada:

● Pelantikan Nabi Yusuf sebagai Menteri
     Raja Mesir diilhamkan melalui mimpinya bahawa akan tiba waktu kemarau panjang. Setelah dinyatakan kepada Nabi Yusuf, baginda menawarkan diri untuk menjadi menteri atau pengarah perbendaharaan bagi menguruskan stok makanan dalam menghadapi kemarau tersebut.

Firman Allah S.W.T:

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
“Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.”
[Yusuf: 55]

     Dua sifat yang dinyatakan berkenaan Nabi Yusof adalah Hafiz’ (menjaga) dan ‘Alim’ (berilmu).

● Pelantikan Talut sebagai raja
     Tuhan memerintahkan Bani Israel membuka Kota Palestin dari tangan Jalut (Goliath). Lalu mereka meminta dari Nabi Samuel agar dilantik seorang raja/panglima memimpin bala tentera.

Firman Allah S.W.T:

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu”. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.”
[Al-Baqarah: 247]

Dua ciri yang ada pada talut adalah _‘Ilm_ (berilmu) dan _Jism_ (kemampuan).

● Pelantikan Nabi Musa sebagai pekerja upahan
     Ketika lari dari diburu Firaun, Nabi Musa telah sampai ke sebuah perkampungan lalu melihat anak perempuan Nabi Syuaib memerlukan pertolongan untuk mendapatkan air bagi memberi minum kepada binatang peliharaan. Melihat kemampuan dan kejujuran yang ada pada Nabi Musa, anak Nabi Syuaib mencadangkan agar diambil Nabi Musa sebagai pekerja.

Firman Allah S.W.T:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi pekerja upahan, sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.”

Ciri yang ada pada Nabi Musa adalah Qawiy (kemampuan) dan Amin (amanah).

 

BAB 3: ANALISA NAS

● Analisis sifat dari tiga individu al-Quran

     Nabi Yusuf dan Talut memiliki satu sifat yang sama iaitu berilmu ataupun alim. Ia merujuk kepada pengetahuan yang mereka miliki berkenaan dengan tugas yang diamanahkan. Ia juga boleh diistilahkan sebagai intelek atau intelligent.

     Nabi Yusuf dan Nabi Musa pula memiliki sifat yang sama iaitu amanah. Tuhan menyebut Nabi Yusuf sebagai penjaga, yang membawa makna sama erti dengan amanah. Amanah bermaksud boleh dipercayai, jujur dan telus. Ia juga diistilahkan sebagai berintegriti.

     Talut dan Nabi Musa pula memiliki sifat yang sama iaitu berkemampuan. Bermaksud kemampuan untuk melaksanakan tugasan yang diberikan secara teliti dan profesional. Ia juga disebut sebagai kompeten.

     Maka daripada tiga watak ini, kita boleh gabungan sifat-sifat mereka kepada tiga iaitu intelektualiti, integriti dan kompetensi.

     Banyak lagi sifat lain yang boleh dijadikan ukuran pelantikan. Tetapi ia boleh dianggap sebagai sampingan sahaja. Yang utama adalah ketiga-tiga sifat ini.

● Menyesuaikan tiga tugas dengan Wakil Rakyat
     Ketiga kisah ini menceritakan pemilihan tiga tugas yang berbeza. Nabi Yusuf dilantik sebagai menteri atau pengarah jabatan perbendaharaan negara. Tugasnya adalah bagi mengatur dasar dan strategi ekonomi bagi menghadapi musim kemarau yang bakal melanda.

     Talut (Saul) pula dipilih untuk menjadi raja, atau lebih tepatnya sebagai jeneral tentera. Peranannya adalah bagi memimpin kaum Bani Israel memerangi Jalut (Goliath) yang menguasai tanah Palestin.

     Manakala Nabi Musa ditugaskan sebagai orang upahan, bagi membantu keluarga Nabi Syuaib melaksanakan kerja-kerja rutin hidup.

     Analisis daripada ketiga-ketiga sifat ini, maka dapatlah disimpulkan bahawa peranan seorang Wakil Rakyat lebih sinonim dengan tugas Nabi Yusuf berbanding yang lain. Ini kerana Wakil Rakyat adalah anggota Badan Legislatif yang membuat undang-undang negara. Jika mereka bersama parti yang membentuk kerajaan, mereka turut menjadi anggota Badan Eksekutif yang merangka dasar dan polisi negara. Maka peranan Wakil Rakyat adalah mencakupi tugas menjaga ekonomi negara sebagaimana Nabi Yusuf, bahkan lebih luas daripada itu.

     Namun boleh juga diambil beberapa bentuk persamaan dengan tugas Talut. Kerana wakil rakyat juga boleh menjadi Menteri Pertahanan di dalam kabinet negara. Tetapi peranannya lebih terhad berbanding seorang panglima perang.

     Tugasan Nabi Musa agak jauh dari sifat Wakil Rakyat. Beliau hanya dilantik sebagai pekerja, yang melaksanakan arahan majikan. Tidak memiliki kuasa pentadbiran sebagaimana Wakil Rakyat. Walaubagaimanapun, ia boleh dijadikan sebagai nas pelengkap dalam memahami kaedah pelantikan Islam.

● Memilih paling layak adalah wajib
     Pertimbangan sebelum pengundian perlu dilakukan sewajarnya. Perlu dipilih terbaik dari kalangan yang baik. Penelitian harus dibuat dengan cermat, supaya tidak memilih yang kurang layak berbanding lebih layak.

     Memilih yang kurang layak adalah ditegah oleh Islam. Antaranya berasaskan sabda Rasulullah S.A.W:

مَنِ اسْتَعْمَلَ رَجُلًا مِنْ عِصَابَةٍ وَفِي تِلْكَ الْعِصَابَةِ مَنْ هُوَ أَرْضَى لِلَّهِ مِنْهُ فَقَدْ خَانَ اللَّهَ وخانَ رَسُولَهُ وخانَ الْمُؤْمِنِينَ
“Barangsiapa yang menugaskan seseorang memimpin satu kumpulan sedangkan dalam kumpulan tersebut terdapat orang yang lebih diredhai Allah daripadanya, maka dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang beriman.”
[HR Hakim]

Disokong oleh satu lagi hadis:

أَيُّمَا رَجُلٍ اسْتَعْملَ رَجُلًا عَلَى عَشَرَةِ أَنْفُسٍ، عَلِمَ أَنَّ فِي الْعَشَرَةِ أَفْضَلَ مِمَّنِ اسْتَعْمَلَهُ، فَقَدْ غَشَّ اللَّهَ، وَغَشَّ رَسُولَهُ، وَغَشَّ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ
“Sesiapa yang menugaskan seorang lelaki memimpin 10 orang, sedang dalam 10 orang itu terdapat yang lebih layak, maka dia telah melakukan penipuan terhadap Allah, Rasul-Nya dan jemaah Islam.”
[HR Ahmad]

 

BAB 4: MENYUSUN PRIORITI TIGA KRITERIA

Untuk memilih yang terbaik, ketiga-tiga ciri tersebut harus diambil kira. Pakej terbaik adalah mereka yang memiliki semua tiga sifat ini. Namun realitinya, tiada manusia sempurna. Pasti ada kekurangan pada mana-mana bahagian. Jika semua memiliki kelebihan pula, pasti ada individu yang lebih baik dari individu lain dari sudut-sudut tertentu.

Malah perlu disusun kriteria apakah yang perlu menjadi prioriti. Apakah intelektualiti, integriti ataupun kompetensi?

● Pertama: Intelektual
     Melihat daripada tiga nas yang dibawa, kemudian dipadankan dengan tugas seorang Wakil Rakyat, maka saya berpandangan intelektual perlu diletakkan pada keutamaan pertama. Ini kerana ia adalah kriteria yang dinyatakan pada Nabi Yusuf dan Talut, tetapi bukan Nabi Musa. Telah dibincangkan di atas, bahawa tugas Nabi Yusuf dan Talut lebih sinonim dengan wakil rakyat berbanding Nabi Musa.

     Perkara ini turut disokong dengan nas-nas yang banyak. Antaranya firman Allah yang melebihkan kedudukan orang berilmu selepas beriman:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ
“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”
[Al-Mujadalah: 11]

     Juga hadis yang menyifatkan keadaan songsang akhir zaman apabila melantik orang jahil sebagai pemimpin:

إن اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ النَّاسِ ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
“Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menarik langsung daripada para hamba-Nya, tetapi menarik ilmu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila tiada lagi seorang alim yang tinggal, maka dilantik kalangan orang jahil sebagai pemimpin. Maka mereka ditanya lalu mengeluarkan pandangan tanpa ilmu, lalu mereka sesat lagi menyesatkan.”
[HR Bukhari & Muslim]

Kata-kata Saidina Umar pula jelas menyokong:

تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا
“Jadilah seorang yang faham dahulu sebelum menjadi pemimpin.”

● Kedua: Integriti
     Selepas melihat kepada intelektual calon, perkara kedua yang harus dinilai adalah sifat integriti. Di dalam tiga watak yang dibincang, Nabi Yusuf dan Nabi Musa ditetapkan dengan kriteria ini tetapi tidak Talut. Saya cenderung melebihkan kriteria integriti daripada kompetensi kerana peranan Nabi Yusuf lebih sinonim dengan wakil rakyat berbanding Talut, dan Talut tidak dinyatakan sifat integriti.

Tambahan daripada itu, Allah menyebutkan pada ayat sebelumnya, sifat amanah (integriti) pada jawatan Nabi Yusuf dari lisan raja Mesir waktu itu:

وَقَالَ الْمَلِكُ ائْتُونِي بِهِ أَسْتَخْلِصْهُ لِنَفْسِي ۖ فَلَمَّا كَلَّمَهُ قَالَ إِنَّكَ الْيَوْمَ لَدَيْنَا مَكِينٌ أَمِينٌ
“Raja berkata: “Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia pembesarku. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: “Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami”.”
[Yusuf: 54]

Nabi juga menyatakan integriti adalah mandatori kepada iman:

لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ
“Tiada iman bagi mereka yang tiada integriti pada dirinya.”
[HR Ahmad]

Seterusnya hadis yang menyatakan tanda munafiq:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ : إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
“Tanda munafiq ada tiga; bila bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkir, bila diberi amanah dia khianat.”
[HR Bukhari & Muslim]

● Ketiga: Kompetensi
     Walaupun ia berada pada keutamaan ketiga, tetapi ia masih dianggap sebagai yang teratas berbanding kriteria-kriteria lain seperti peramah, petah berpidato, penampilan dan usia. Ini kerana ia masih bersandar kepada nas-nas yang jelas berkait soal pelantikan Talut dan Nabi Musa, dan tiadalah yang lebih perlu diutamakan berbanding nas.

     Ia juga disokong dengan nas yang banyak. Antaranya firman Allah memerintahkan Nabi Yahya supaya mengambil intipati Kitabullah dengan penuh kompeten:

يَا يَحْيَىٰ خُذِ الْكِتَابَ بِقُوَّةٍ ۖ وَآتَيْنَاهُ الْحُكْمَ صَبِيًّا
“Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.”
[Maryam: 12]

Juga firman Allah:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ
“Bersiap-sedialah kamu sepenuh kemampuan dari sudut kompetensi dan ikatan tali kuda.”
[Al-Nahl: 60]

 

BAB 5: IMPLEMENTASI PADA PILIHAN RAYA

● Mengukur intelektual pada calon
     Intelektual calon boleh diukur pertamanya melalui latarbelakang pendidikan. Menjadi satu kelebihan bagi calon yang bertaraf Doktor Falsafah (PhD). Namun bukanlah menjadi syarat utama seseorang itu bergelar doktor, tetapi sebaiknya kelulusan mereka biarlah seiring dengan kelulusan kebanyakan rakyat. Hari ini, kelulusan Sarjana Muda adalah satu kebiasaan. Maka calon yang memiliki kelulusan lebih rendah daripada itu dikira terlalu rendah bagi menjadi wakil rakyat.

     Selain itu, intelektual boleh diukur melalui isi ucapan dan tulisan. Kebolehan mengemukakan nas dan fakta, kepintaran menerangkan sesuatu teori, ketulenan idealisme yang dilontar, penjelasan mengenai visi dan misi adalah ciri-ciri yang baik sebagai seorang pemimpin.

     Intelektual adalah asas supaya kita boleh melihat ke arah manakah negara ingin dibawa. Ia juga boleh dilihat melalui manifesto dan wawasan yang dikemukakan parti mereka. Dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051) yang dikemukakan PAS dan Manifesto Malaysia Sejahtera yang dilancarkan adalah contoh untuk menilai intelektualiti calon PAS. Tidak pasti pula apakah BN dan PH memiliki dokumen berwawasan yang serupa.

● Mengukur integriti pada calon
     Integriti adalah sesuatu yang bersifat maknawi, bukan berbentuk fizikal. Namun ia boleh diukur melalui sejarah calon itu diberikan amanah. Sekiranya mereka pernah didapati bersalah atas kes rasuah, maka bukanlah orang yang berintegriti.

     Pengiktirafan yang diberikan badan penilai integriti juga perlu dijadikan iktibar. Menteri di Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat 71 pemimpin BN berhadapan kes rasuah, 21 PH dan 0 dari pihak PAS.

     Selain integriti dari sudut rasuah, sikap yang boleh diukur juga adalah kejujuran dalam kata-kata. Mereka yang memiliki rekod menipu yang banyak adalah tidak layak menjadi pemimpin. Mengeluarkan dua kenyataan yang bercanggah langsung juga bukti ketidakjujuran.

     Memungkiri janji juga adalah masalah integriti. Menabur janji bermacam-macam seperti menghapuskan tol, menurunkan harga kereta tetapi tidak melaksanakan bila menang adalah sikap yang tidak berintegriti.

● Mengukur kompetensi pada calon
     Kompetensi diukur melalui pengalaman dan hasil kerja sebelum ini. Sekiranya pernah terbukti kemampuan seseorang calon dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi, maka itu adalah calon sangat sesuai dipilih.

     Sebagai contoh, kemampuan untuk menyelesaikan hutang negeri dan menjana pendapatan yang pernah ditunjukkan Terengganu tahun 1999, dan kejayaan menggandakan rizab negeri Selangor kepada RM2 billion oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, adalah ciri-ciri kompetensi yang baik untuk negara.

     Sering orang mengukur kompetensi melalui bangunan dan material yang dicipta sahaja. Lihat KLCC yang tinggi sahaja terus menganggap pemimpin zaman itu kompeten, tanpa mengambil kira kesan sampingan baik dan buruk dari segi lainnya.

     Dasar negara berasaskan industri yang diperkenalkan dahulu, dianggap pemangkin kepada kemajuan Malaysia, walhal dasar tersebut telah membawa Malaysia hari ini kepada masalah keselamatan makanan apabila sektor pertanian diabaikan kerana mengejar sektor perindustrian. Dasar penswastaan juga dianggap sebagai pemangkin kepesatan pembangunan negara, sedangkan dasar ini jugalah yang mendedahkan negara kepada penyelewengan, peningkatan hutang, inflasi dan pemusnahan alam sekitar.

     Kompetensi adalah kriteria yang paling mudah untuk diukur, tetapi bukan semuanya boleh diukur. Ini kerana terdapat calon-calon muda yang belum berpengalaman dalam mentadbir. Walaupun bakat dan kemampuannya, tetapi belum pernah terbukti. Lagipun, kompetensi adalah kriteria ketiga selepas integriti dan kompetensi.

 

BAB 6: CADANGAN DAN PESANAN

● Kalam Syaikhul Islam

Kata Ibn Taimiah dalam Siasah Syar’iyyah:
“Kompetensi dalam pemerintahan bermaksud mengetahui tentang keadilan yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah, juga kemampuan untuk melaksanakan hukum hakam Allah. Integriti pula bermaksud takutkan Allah, tidak menggadaikan agama dan tidak takutkan manusia. Ini berpandukan kepada firman Allah:

فَلَا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا ۚ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
“Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku; dan janganlah kamu menggadaikan ayat-ayat-Ku dengan harga dunia yang sedikit, dan sesiapa yang tidak memerintah dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.”
[Al-Ma’idah: 44]

Kerana itu Nabi S.A.W bersabda:

الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: اثْنَانِ فِي النَّارِ، وَوَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ. رَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ، فَقَضَى بِهِ، فَهُوَ فِي الْجَنَّةِ. وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ، فَلَمْ يَقْضِ بِهِ، وَجَارَ فِي الْحُكْمِ، فَهُوَ فِي النَّارِ. وَرَجُلٌ لَمْ يَعْرِفِ الْحَقَّ، فَقَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ، فَهُوَ فِي النَّارِ
“Terdapat tiga jenis Qadhi; dua daripada ke neraka dan hanya satu ke syurga.
(1) yang mengetahui kebenaran dan dia membuat keputusan berasaskannya, maka dia ke syurga.
(2) yang mengetahui kebenaran tetapi tidak membuat keputusan dengannya dan zalim dalam keputusan tersebut, maka dia di neraka.
(3) yang tidak mengetahui kebenaran lalu membuat keputusan atas kejahilan, juga di neraka.”
[HR Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah dan Nasaie]

     Qadhi adalah semua yang mengadili dua pihak, sama ada khalifah, sultan, pemangku, gabenor ataupun hakim.

● PRU tanpa calon; sebuah idea
     Menuju ke arah kemajuan politik, suka untuk dicadangkan satu kaedah baru dalam pilihan raya. Pengundian berasaskan parti semata-mata tanpa menamakan calon. Rakyat hanya menilai berasaskan dasar, idea, visi dan manifesto parti tanpa perlu melihat kepada peribadi seseorang. Soal siapa yang akan menjadi wakil di kawasan yang menang ditentukan sendiri oleh parti.

Kaedah ini mirip pengundian straight-ticket yang diamalkan di beberapa wilayah di Amerika Syarikat. Tetapi ia masih mengetengahkan calon. Idea yang dikemukakan ini pula adalah berasaskan parti semata-mata, tanpa dinamakan calon.

Ini bermakna anggota parti bertanggungjawab secara kolektif terhadap kawasan yang dimenangi. Di dewan Parlimen atau Dun, parti boleh memilih wakil yang dikehendaki dan boleh menukarnya.

Selain memberi kelebihan kepada parti dalam menjaga dasar dan halatuju mereka dari digugat kepentingan individu, ia juga dapat menangani isu lompat parti yang sering menimbulkan masalah buat negara.

● Mengundi adalah amanah
Mengulangi penegasan di awal tulisan, mengundi merupakan satu proses memilih seorang petugas kepada negara. Ia adalah amanah kepada semua rakyat. Perlu ditunaikan kepada yang selayaknya. Jangan sesekali mengkhianati amanah ini dengan menyerahkan kepada yang tidak selayaknya. Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
[Al-Anfal: 27]

Pilih mereka yang betul-betul layak, berasaskan perbincangan yang dinyatakan. Jangan pilih berasaskan sentimen dan nafsu. Nabi S.A.W bersabda:

مَن اسْتعملَ رجلاً لِمَوَدَّة أو لِقَرابَةٍ ، لا يستعمِلُه إلاَّ لذلك ؛ فقد خانَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ والمؤمِنينَ
“Barangsiapa yang melantik seseorang kerana hubungan persaudaraan atau kerana kasih padanya, tidaklah dia memilih melainkan atas dasar tersebut, maka dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman.”
[HR Ibn Abi Dunya]

 

KESIMPULAN

1.     Memilih parti adalah jauh lebih baik bagi menangani masalah kekurangan individual. Berjemaah atau berkumpulan akan menampung kekurangan sesama sendiri. Ia lebih demokratik dan mampu pergi lebih jauh.

2.     Mengundi adalah tanggungjawab rakyat. Ia adalah ruang mempraktikkan kuasa rakyat sebagaimana teori demokrasi.

3.     Merujuk kepada kisah pelantikan Nabi Yusuf, Talut dan Nabi Musa, dapatlah difahami bahawa kriteria utama yang perlu ada pada Wakil Rakyat adalah intelektual, integriti dan kompetensi secara tertib. Kriteria lain dianggap sebagai nilai tambah.

4.     Ibn Taimiyah menafsirkan Qawiy (kompetensi) pada jawatan pemerintah bermaksud kefahaman terdapat al-Quran dan Sunnah dan kemampuan untuk melaksakan syariat-Nya. Bukan sekadar kemampuan untuk mentadbir semata-mata tanpa mengikut panduan agama.

5.     Ramai pengundi hari ini menilai wakil rakyat berasaskan kriteria sampingan, bukan kriteria utama di atas. Ada yang memilih kerana calon itu kaya dan mampu membantu kebajikan mereka. Ada yang memilih calon ramah, kononnya berjiwa rakyat. Ada yang memilih kerana hebat berdebat di parlimen, atau kerana hebat mendedahkan salahlaku musuh politik, sedangkan semua itu bukan peranan utama Wakil Rakyat. Maka pincanglah politik negara ditadbir oleh bukan selayaknya.

9 Syaaban 1439
24 April 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 25/4/2018