Persediaan jentera PAS mantap – Khalid

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, markas atau pondok panas yang didirikan oleh jentera PAS adalah mantap.

Advertisement

“Markas yang saya lawat, Tuan Guru, mantap. Jadi Tuan Guru janganlah rasa curiga keikhlasan ahli-ahli PAS.

“Bendera dipasang lebih tinggi daripada orang yang lain dan kosnya lebih rendah daripada orang yang lain.

“Itulah keadaan yang sebenarnya dan saya lihat kesediaan semua yang hadir itu mendengar dan memahami apa yang kita hendak lakukan supaya umat Islam ini berjaya di dunia dan di akhirat,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana Jelajah Presiden PAS & Munajat PRU14 yang diadakan di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor, malam tadi yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook. Hadir sama ialah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi.

Katanya, PAS juga mengajar beliau ketika masih menjawat jawatan Menteri Besar Selangor supaya menjaga amanah rakyat.

Beliau juga berkata akan bersama Kong Tuck Wah, calon bagi Dun Rawang untuk berjumpa dengan kaum Tionghua bagi menyampaikan mesej supaya mereka tidak takut dengan PAS.

“Orang yang berugama, yang berilmu adalah orang yang sangat adil kepada semua manusia,” ujarnya.

PAS, tegasnya merupakan parti yang berprinsip.

Justeru, beliau menyeru hadirin supaya menyokong dan mengundi PAS dalam PRU14 ini. – HARAKAHDAILY 25/4/2018