‘Apam orang mati’ lambang permuafakatan

KETIKA semua orang sedang mengalami demam pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi, sebenarnya ia bukan sahaja perang ideologi, malah lebih jauh dari itu, PRU jika diambil dari sudut positif, menjadi alat mengeratkan hubungan.

Advertisement

Bukti ini ditunjukkan oleh sekumpulan besar penduduk di Kampung Tok Rimau, yang terletak di dalam Dun Bukit Payong, yang mengambil peluang mengadakan acara membakar sejenis kuih tradisional yang dipanggil kuih ‘apam orang mati’.

Mereka berkumpul beramai-ramai bagi menjayakan acara ini kerana ia jarang-jarang diadakan, kerana ia khusus dibuat pada waktu-waktu penting sahaja, menambahkan lagi keinginan penduduk setempat menyertainya.

Menurut salah seorang peserta, Hendon Botok, 48, sebetulnya kuih itu dipanggil apam bakar dan panggilan agak unik itu adalah kerana kuih apam ini adalah secara tradisinya dihidangkan ketika hari pertama Tahlil jika adanya sesuatu kematian.

Jadi secara ringkasnya, orang-orang kampung akan membuat apam ini kerana ia agak mudah disediakan, sebelum dihidangkan dengan makanan-makanan lain kepada tetamu untuk hari-hari seterusnya, maka kuih ini dikenali ramai dengan nama ‘apam orang mati’.

“Kuih tradisonal ini mudah saja nak buat, kita beras kampung yang dikisar, pisang, gula, lada hitam, bawang putih dan gula melaka sebagai bahan utama penyediaannya.
Semua bahan-bahan itu digaul sekali sehingga sebati, diperam biasanya dari pagi sehingga malam, kemudian akan dicurahkan sebanyak yang diperlukan sebelum dibakar atau kukus, kemudian tutup kuali, sama seperti proses menyediakan apam balik.

“Kalau boleh kita guna dapur kayu, rasanya lebih sedap sebab bercampur dengan aroma asap daripada dapur itu, tetapi boleh juga kita guna dapur biasa”, terang berkenaan cara membuat apam ini.

Beliau juga mendakwa, apam ini sangat jarang didapati di tempat lain dan tidak ramai yang tahu membuatnya. Seramai kira-kira 100 orang penduduk Kampung Tok Rimau yang keluar bagi sama-sama menjayakan acara membakar apam ini bersempena dengan perasmian Markas PRU PAS Cawangan Kampung Tok Rimau.

Turut hadir sebagai tetamu jemputan ialah calon PAS bagi Dun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang turut serta membakar apam bersama-sama penduduk kampung.

“Saya berharap aktiviti kemasyarakatan dan tradisi ini akan terus dikekalkan bagi memelihara khazanah setempat yang tidak dapat dijual beli, dan dibimbangi akan terhakis kerana peredaran masa.

“Keadaan seperti ini sememangnya menggamit kenangan silam yang suatu ketika dahulu, menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung turun dan bantu membantu dalam apa-apa hal secara gotong-royong”, terang Ustaz Mohd Nor yang jelas gembira kerana tradisi dahulu dipelihara.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 27/4/2018