Kejutan Pakatan Harapan belum menjadi

BERMULA dakwaan 10 wakil rakyat PAS akan menyertai PAN pada 2016, semalam pula kejutan baru pada pengumuman calon Pakatan Harapan mahu dicipta.

Advertisement

Nampaknya selepas satu, satu luruh tanpa bekas. Maka bagi menyelamat wibawa politik Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengisytiharkan “Husam ni, 10 wakil rakyat lain, baru sama dengan dia seorang”.

Akhirnya digelar orang kampung ‘Husam Kuasa 10’. Politik veteran PAN itu tidak pernah serik untuk mencipa glamour. Maka disebut pula Ustaz Nik Omar, anak almarhum Tok Guru akan dicalonkan di Chempaka.

Digempak mahu dilantik sebagai calon Menteri Besar. Dan pengumuman calon PH di Kadok malam tadi, seakan-akan kejutan yang tidak menjadi.

Malang sunguh kata pak mat jual ikan, seperti menunggu buah tidak gugur. Ia tidak lebih sebagai mencipta glamour bagi menggambarkan hayat politiknya masih hidup.

Tulis penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Mohd Yusof, Wan Rahim sebelumnya, menyebut kejutan tidak diumumkan pada majlis itu kerana ia ‘disimpan untuk hari penamaan calon esok’.

Fikrah politik seumpama itu sudah menyimpang dari jalur Melayu. Sekadar menumpang hayat politik untuk mendapat simpati masyarakat.

Kata orang filem, sekadar lakonan di gelanggang politik. Ia tidak lebih sebagai sketsa dengan plot cerita di lembaran skrip. Skrip dipersembahkan sedemikian rupa sekadar mahu menarik simpati.

Namun lakonannya kurang menjadi. Ini kerana lakonan orang politik tanpa jiwa seni. Wataknya kasar, wajahnya suram.

Kata Dr Kamarul lagi, tiba-tiba di sebalik kejutan itu ada pula babak di luar tabir pertukaran calon PH Tanah Merah.

Pada awalnya dinamakan bekas Pemuda Umno, Dato’ Seri Mohd Supardi Md Noor sebagai mewakili PKR. Tiba-tiba calon PAN pula ditampilkan. Sedangkan sudah disepakati kerusi itu milik PKR.

Dr Mohd Fauzi Zakaria, bekas pemimpin Pemuda PAS pada era 1990. Rakyat Kelantan tahu di sebalik kisahnya tidak disambung khidmat sebagai Setiausaha Akhbar Tok Guru Nik Aziz sebelum ini.

Seorang sarjana politik membuat kesimpulan, senarai nama PH tiada yang mengejutkan. Semua orang sudah lama maklum.

Begitu juga isu peletakan jawatan Ketua Pemuda PAS Dun Kelaboran, Mohd Saifullah Che Mat sudah lama dijangka.

Ketua Pemuda PAS Tumpat, Mohd Hushaimi Hussian berkata, bukan perkara baru isu tersebut kerana penyokong PAS di Tumpat sudah sedia maklum.

Bayangan PAN sudah lama dikesan cuma menunggu masa dan ketika. Dramanya lebih kurang sama dengan bekas pemimpin PAN di Kampung Laut.

Selepas pemimpin itu secara rasmi menyertai PAN, penyokong PAS di situ mulai menjarakkan diri. Dan isu pembangunan Kampung Warisan pun tidak berolak lagi.

Kata orang Gua Musang, selepas duri dibuang bengkak pun mulai surut. Sekarang tinggal beberapa hari lagi pemimpin politik yang suka glamour boleh berlakon mencipta juara.

Malam 9 Mei ini, segala lakonan akan berakhir. Masih adakah sisa-sisa politik untuk digelar sebagai pemimpin.

Biar pun Merdeka Centre membuat kesimpulan PAS kecundang di Kelantan kerana PAS keseorangan, namun tidak ramai ambil pendoman kisah perang Badar.

Kemenangan besar tentera Islam tidak terletak pada jumlah yang besar sebaliknya kekuatan iman yang tertanam di jiwa.

Merdeka Centre, Invoke dan Institut Darul Ehsan tidak membuat servey berapa ramai pendukung PAS yang bermunajat setiap malam.

Inilah aspek yang sering dilupakan. Ketika Pakatan Rakyat berada di kemuncak pada PRU13, mengapa masih gagal menjejaki Putrajaya.

Tiada lain lagi kerana jiwa mereka berbaur antara Islam dan sekularisme. – HARAKAHDAILY 27/4/2018