Mahathir mungkin jadi King Maker

MAHATHIR keluar masuk Umno 

Advertisement

Seawal Mahathir keluar Umno kali yang ketiga, beliau telah menyatakan tindakan itu adalah bagi menyelamatkan Umno. Beliau juga kata, hanya anti-Najib bukan anti-Umno. Beliau pernah dipecat zaman Tunku Abdurrahman dan masuk kembali selepas pelan penyingkiran Tunku berjaya. Beliau pernah keluar zaman Tun Abdullah dan masuk kembali selepas berjaya menggantikannya dengan Najib. Maka tak mustahil, modus operandi sama dilakukan kali ini.

Walau bagaimanapun, taktik kali ini mungkin agak sedikit berbeza. Kalau Tun Abdullah dulu mudah ditekan, Najib kali ini tampak agak keras. Namun tiada yang mustahil bagi Tun M. Beliau pernah buat sampai Umno diharamkan tahun 1988. Berlaku krisis perlembagaan sampai Ketua Hakim Negara pun dipecat.

Bolot seberapa banyak kerusi PH 

Taktikalnya, bertanding dan cuba menang seberapa banyak kerusi melalui PH. Hari ini watak beliau telah berjaya disucikan. ‘Taubat’nya diterima juak-juak PH tanpa perlu mengaku salah dan meminta maaf, jauh sekali mengembalikan hak yang dirampas.

Beliau sudah dinobat orang nombor satu PH. Beliau sudah berjaya memposisikan partinya menjadi parti Melayu terbesar dalam PH. Dan beliau berjaya melobi bagi mendapatkan bahagian terbanyak dalam pembahagian kerusi Semenanjung antara PH iaitu 52. Meninggalkan PKR(51), DAP(35) dan PAN(27) di belakang.

Hung Parlimen dinantikan Tun M 

Berdasarkan perkembangan politik sejak 2016, PAS menggambarkan bakal berlaku situasi ‘Hung Parliament‘ di mana tidak ada mana-mana koalisi parti berjaya membentuk kerajaan. PAS melihat ini adalah salah satu peluang untuk mengetengahkan idea Islamnya sebagai syarat utama mana-mana parti yang mahu bergabung. Kalau ada yang bersetuju untuk menggalas agenda Islam bersama PAS, maka PAS boleh memberikan kerjasama membentuk kerajaan. Tapi kalau masing-masing masih tidak mahu, maka terserah. PAS akan kekal sebagai pembangkang yang tidak akan mengendurkan prinsip perjuangan.

Tetapi Mahathir juga licik membaca senario tersebut. Pasti akan ada kumpulan dalam pakatan BN dan PH yang tidak sanggup menerima agenda Islam yang diletakkan PAS. Sejarah penentangan RUU355 adalah sebagai contoh. Bukan sahaja PH, malah komponen BN turut menentang walaupun Umno telah memberi komitmen kepada rakyat untuk membawanya. Akhirnya Umno terpaksa tunduk tekanan parti lain dalam BN.

BN dan PH pecah, Tun M muncul di tengah 

Jika situasi ‘Hung Parliament‘ benar-benar berlaku dan PAS menawarkan Islam sebagai syarat kerjasama, BN dan PH akan pecah dua antara yang menerima dan menolak. Di situlah peranan Tun M akan bermula. Beliau mungkin akan muncul bersama beberapa orang MP PPBM dan MP yang cenderung kepadanya, menawarkan pembentukan kerajaan bersama BN. Tidak perlu ramai, tapi cukup untuk menampung kekurangan BN membentuk majoriti mudah.

Syarat yang bakal beliau letakkan pula cukup mudah; turunkan Najib dan kartelnya dari kuasa dan posisikan kerabat dan kroninya. Itulah matlamat beliau pun selama ini.

Antara syarat PAS dan syarat Tun M

Berbanding syarat Islam yang PAS tawarkan, syarat Mahathir lebih ringan untuk diterima komponen BN yang lain. Dan mungkin Mahathir lebih disukai komponen BN lain berbanding Najib. Mereka sudah kenal bagaimana Mahathir, mereka pernah bersama Mahathir, dan mereka tahu sikap Mahathir terhadap Islam.

Jika plan Mahathir berjaya, pengikut PH akan terkonyong sekali lagi sebagaimana penyokong Semangat 46 dahulu apabila Tengku Razaleigh bawa parti itu masuk BN kembali. Penyokong Anwar terkedu bila bos mereka tak dapat jadi PM.

DAP semakin selesa 

Bagi DAP pula, mereka sudah berpuas hati untuk pusingan ini. Selain berjaya menyekat agenda Islam yang dibawa PAS, mereka juga berjaya menambah kerusi, menjadikan parti itu semakin kuat dalam koalisi pembangkang. Sedar atau tidak, 35 kerusi itu baru di Semenanjung, belum masuk Sabah dan Sarawak!

Orang Islam paling rugi 

Yang paling rugi bukan PAS, tapi seluruh orang Islam yang mahu melihat agenda Islam dimartabatkan. Parti komponen Gagasan Sejahtera bersama ratusan NGO dan orang perseorangan yang menyokong RUU355 dan menolak RUU164, RUU murtad dan lain-lain adalah orang paling terkesan. Mahathir akan guna peluang ini cukup-cukup untuk menutup segala ruang yang mungkin ada untuk PAS. Kebencian Mahathir pada PAS tidak pernah padam. Itulah musuh utama beliau sejak dulu.

Beliau sanggup berbuat apa sahaja, walaupun perkara yang tak pernah terlintas di fikiran manusia. Orang tak pernah fikir Mahathir boleh berbaik dengan DAP, tak pernah fikir berbaik dengan Anwar, tak pernah fikir akan lawan anak buahnya sendiri Najib. Tapi itu semua dah berlaku. Maka membaca taktikal Mahathir, mesti jauh melampaui akalan biasa.

Ada jalan keluar 

Satu cara untuk mengekang perkara ini hanyalah satu; pastikan kerusi orang Islam bertambah dengan banyak, kalau boleh mencecah dua per tiga di Parlimen seperti sebelum 2008 dahulu. Paling kurang pun, melebihi minima 112 kerusi MP Islam yang menyokong agenda Islam. Jangan campur sekali dengan MP Islam yang cenderung pada Tun M, kerana bukan semua MP Islam menyokong agenda Islam.

Langkah PAS meletakkan calon Muslim pada kerusi tradisi yang ditandingi non-Muslim adalah satu langkah tepat. Jika sokongan pengundi Islam diberi penuh kepada satu-satunya calon Muslim di situ, jumlah kerusi Islam akan bertambah. Mengukuhkan kembali kedudukan Islam di Parlimen, dan melemahkan tekanan pihak lain dalam agenda memperkasakan Islam.

Polemik RUU355, RUU164, kalimah Allah, RUU murtad adalah manifestasi kelemahan kuasa Muslim di Parlimen. Selagi kedudukan ini masih tidak berubah selepas PRU14, harapan untuk melihat undang-undang yang meningkatkan kedudukan agama dan mempertahankannya akan semakin malap.

Kembalikan kuasa Muslim, cara ini sajalah baru strategi Tun M tidak menjadi.

12 Syaaban 1439
27 April 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 27/4/2018