Perintah T’ganu: PAS urus tadbir lebih baik

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu ingin kembali memerintah Terengganu supaya urus tadbir negeri dijalankan secara bertanggungjawab.

Advertisement

“Ada suara-suara nakal sebut, kalau PAS memerintaj habis kita kena pecat,” katanya dalam program Ceramah Kelompok UPU Gelugor Dun Alur Limbat, Marang, malam tadi yang disiarkan secara langsung menerusi laman Fb beliau.

Katanya, sepanjang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah, PAS tidak pernah memecat sesiapa yang menjalankan tugas dengan baik.

Beliau sebelum itu mempersoalkan projek-projek yang dijanjikan oleh kerajaan Terengganu di bawah Barisan Nasional seperti Projek Taman Ilmu di Besut yang tidak dijalankan dengan amanah dan berintegriti.

Tambahnya, PAS komited untuk memberikan pentadbiran negeri yang lebih baik daripada kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Negara-negara maju di seluruh dunia, apabila kerajaan sedia ada gagal berfungsi dengan baik ataupun tidak cermat dalam perbelanjaan, rakyat akan menggunakan kuasa demokrasi melalui pilihan raya untuk buat perubahan,” katanya yang merupakan calon PAS Dun Rhu Rendang.

Beliau kemudiannya mengajak rakyat Terengganu untuk menggunakan kuasa demokrasi yang dimiliki dalam pilihan raya kali ini untuk memilih PAS sebagai pemerintah negeri itu.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat adalah pakar dalam bidang aeroangkasa. – HARAKAHDAILY 27/4/2018