Calon Muslimat muda wakili PAS di Kepala Batas

KEPALA BATAS: Muslimat PAS menampilkan calon muda, Siti Mastura Muhammad untuk bertanding di kerusi P.041 Kepala Batas yang diyakini bakal mendapat sokongan padu penduduk di situ.
 
Beliau merupakan anak jati Kepala Batas berasal dari Permatang Tinggi C yang membesar dalam keluargapenyayang, tegas dan sentiasa mengambil berat pendidikan beliau.
 
Mastura menghabiskan persekolahan menengahnya di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Daeratul Maarifil Wataniah dari tingkatan satu hingga selesai Sijil Tinggi Agama Malaysia.
 
Anak muda yang merupakan cahaya mata kepada pasangan Muhammad Kassim dan Masnah Lebai Hamid ini adalah pelajar amat disenangi di kalangan guru serta rakan-rakan​ semasa alam persekolahannya.
 
Bakat kepimpinannya terserlah ketika melanjutkan pelajaran di Mesir di mana beliau telah diamanahkan pelbagai jawatan yang penting antaranya sebagai  Naib Pengerusi Hal Ehwal Wanita Islam Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir.
 
Semangatnya menuntut ilmu tidak pernah luntur apabila Siti Mastura turut menyambung pelajarannya ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Sains Malaysia dan sekarang beliau sedang menghabiskan Ijazah Doktor Falsafah di universiti yang sama.
 
Berbekalkan matlamat untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia, sekembalinya beliau dari Mesir, Siti Mastura terus mengorak langkah di medan politik dengan memberi sumbangan secara langsung kepada Dewan Muslimat PAS. 
 
Beliau kini diamanahkan sebagai Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang, jawatan yang memerlukan beliau memberikan komitmen, sedangkan sukar dilaksanakan oleh kebanyakan golongan muda seusia beliau.
 
Penyertaan beliau pada PRU14 menjadi peluang kepada masyarakat Kepala Batas untuk mengundi beliau mewakili suara golongan muda di Parlimen bagi perjuangan generasi masa hadapan mewarisi kepimpinan negara.
 
Bagi PRU ini, Siti Mastura akan bersaing dengan calon BN, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican serta calon PH Dr Zaidi Zakaria. -HARAKAHDAILY 29/4/2018
Advertisement