PAS utama pendidikan, hapus hutang PTPTN

KUALA LUMPUR: Calon PAS bagi kerusi Parlimen Kubang Pasu, Norhafiza Fadzil berkata kerajaan tidak mahu melupuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun hutang syarikat korporat diberikan.

Advertisement

Beliau membawakan contoh kolam udang di Jerlun dan Syarikat Perwaja yang dilupuskan hutang mereka oleh kerajaan sehingga mencapai RM100 juta.

“Tapi bila mai tang hutang PTPTN, tak boleh pulak depa nak menghapuskan hutang tersebut.

“Jadi kita tawarkan kepada rakyat, kepada anak muda, hapuskan hutang PTPTN yang sedia ada,” katanya dalam program ceramah di Kedai Makan Bang Din, Simpang Empat Malau, Kedah, malam tadi yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook. (Foto atas: Norhafiza (kiri)  bersama petugas muslimat PAS.)

Beliau kemudiannya menerangkan isu Mara yang kini tidak lagi memberikan biasiswa namun hanya memberikan pinjaman.

“Jadi hutang jugalah pada anak-anak kita,” katanya lagi.

GST bebankan rakyat

Norhafiza menjelaskan kepada hadirin bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah membebankan rakyat.

“Sangat tidak adil kepada rakyat, semua orang kena bayar GST, tak kira susah ka, tak kira orang kaya ka padahal cukai ini sepatutnya dikenakan pada orang kaya saja,” kata beliau.

Justeru, katanya PAS menawarkan untuk menghapuskan cukai GST dan menggantikannya dengan cukai simpanan korporat dan cukai pegangan saham.

Tambahnya, jumlah hasil yang mampu diperoleh daripada kedua-dua cukai tersebut mencecah RM60 bilion dan ianya lebih banyak daripada jumlah hasil cukai GST iaitu RM44 bilion.

“Negara dapat income ataupun pendapatan yang lebih lagi daripada dua cukai yang kita tawarkan tadi,” kata beliau membandingkan antara cukai tawaran PAS dengan GST.

Tawaran kepada anak muda

“Kita tengok lani dengan kerja yang payah nak dapat jadi kita bantu dengan kerajaan negeri untuk buka tanah rancangan kepada anak muda untuk menceburi sector pertanian,” ujar beliau.

Katanya, hanya terdapat 14 peratus sahaja anak muda yang terlibat dalam bidang pertanian.

Terang beliau, mengikut Jabatan Pertanian, terdapat 120,000 hektar tanah yang terbiar dan tidak diusahakan.

“Ini antara yang kita nak majukan agar anak muda kita ini dapat membangunkan tanah-tanah ini seterusnya memberi peluang pekerjaan dan juga menambah pendapatan kepada anak muda,” kata beliau menerangkan manifesto PAS.

Beliau juga menjelaskan berkenaan tawaran pengecualian cukai eksais dan pinjaman tanpa faedah kepada anak muda yang ingin membeli kereta pertama di bawah 1300 cc.

“Contoh harga kereta RM30,000, cukai eksais dia lebih kurang RM10,000. Jadi harga kereta hanya RM20,000 dan kita bayar tambah lagi pulak tak dak faedah, lebih murah dan mampu milik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/4/2018