Pengundi muda jadi penentu – Presiden PAS

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan, kuasa pengundi muda yang mewarnai hampir 40 peratus akan menjadi penentu kemenangan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.
 
Beliau menyatakan, hasil lawatannya ke seluruh kawasan di negeri Terengganu dan seluruh negara mendapati jumlah pengundi muda tidak kurang dari 40 peratus.
 
Malah katanya, kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini bergantung kepada pengundi atas pagar.
 
“Kekalahan kita (PAS) di Terengganu, banyak majoritinya terlalu kecil. Maknanya, Umno-BN bergantung undi (orang) atas pagar. 
 
“Kita (PAS) ada kekuatan ahli dan kekuatan ahli kita lebih, Umno-BN parti kerajaan banyak ambil (sokongan) atas pagar. 
 
“InsyaAllah, dengan perubahan pengundi muda yang matang. Saya melawat ke seluruh kawasan di Terengganu dan seluruh negara mendapati tidak kurang dari 40 peratus pengundi muda. 
 
“Ini (pengundi muda) menjadi undi penentu dalam pilihan raya,” tegasnya kepada wakil media di Pusat Penamaan Calon P.037 Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Pejabat Daerah dan Tanah Marang, semalam.
 
Beliau yang juga penyandang Parlimen Marang turut menjelaskan bahawa, Terengganu merupakan negeri pertama dimenangi PAS pada pilihan raya tahun 1959.
 
Kemudian menurutnya, PAS Terengganu kembali berkuasa memerintah negeri kali kedua pada PRU10 tahun 1999-2004.
 
“Hari ini, kita (PAS) banyak peluang dan sekurang-kurangnya minima (kemenangan) kita mahu 40 kerusi sekurang-kurangnya dan mungkin lebih, dijangka lebih daripada itu. 
 
“Kita tak mahulah terlalu ekstrem, kata nak capai simple majority, begitu. (tanding) 160 kerusi itu dilihat kepada kawasan PAS di seluruh negara ada 196 kawasan Parlimen. 
 
“Kita ada kawasan-kawasan dan ada cawangan-cawangan (PAS) di 196 kawasan, kita ambil 160 kerusi termasuk Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
 
Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat yang juga calon PAS N.19 Dun Rhu Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, calon N.18 Dun Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan calon N.17 Dun Alor Limbat, Ustaz Ariffin Deraman. -HARAKAHDAILY 29/4/2018
Advertisement