Video mimpi Ustaz Dato’ Nik Amar

MUKADDIMAH

Advertisement

Ada sahabat bertanya, apa pandangan saya tentang video pendek Ustaz Dato’ Nik Amar. Tentang mimpi dan juga fakta Saidina Abu Bakar as-Siddiq membunuh bapanya, katanya.

Saya pun tak tahu daripada mana sumber video itu. Carian saya di google dan youtube hanya terjumpa ‘Husam bermimpi 15 kali menemui Nik Aziz’.

Akhirnya, ada sahabat lain yang memaklumkan, ia di dalam Facbook Dato’ Mohd Amar sendiri.

Persoalan berbangkit mengenai video 

Rupanya video itu mendapat banyak ulasan dan komentar daripada pelbagai pihak.

Kebanyakan komentar adalah mengenai:

1.     Adakah Saidina Abu Bakar membunuh bapanya dalam Perang Badar?
2.     Adakah mimpi menjadi hujah dalam perjuangan PAS?
3.     Adakah perjuangan dalam pilihan raya sama seperti Peperangan Badar?

Persoalan yang ditimbulkan ini adalah sangat kompleks bagi video ucapan yang hanya berdurasi 2 minit 38 saat itu.

Persoalan 1: Adakah Saidina Abu Bakar as-Siddiq membunuh bapanya dalam Perang Badar? 

Persoalan ini dijawab sendiri oleh Ustaz Dato’ Nik Amar di dalam Facebook beliau. Beliau mengaku tersilap fakta. Yang betulnya ialah Saidina Abu Ubaidah yang membunuh bapanya dalam Peperangan Badar.

Fakta ada Sahabat yang membunuh bapanya dalam Perang Badar adalah betul. Tetapi dalam menamakan Sahabat tersebut, beliau tersilap. Lantaran itu beliau meminta maaf dan berterima kasih kepada pihak-pihak yang membetulkan beliau.

Teks penuh beliau di dalam Facebook beliau:

“Saya mohon maaf atas kesilapan fakta yang tidak sengaja tentang Abu Bakar membunuh bapanya. Mengikut riwayat Sahabat yang membunuh ayahnya ialah Abu Ubaidah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat yang cakna tentang isu ini. Semoga Allah merahmati kita.”

Persoalan kedua: Adakah mimpi menjadi hujah dalam perjuangan PAS?

●    Mimpi bukan sumber hukum

Mimpi bukanlah sumber hukum syarak sebagaimana disebut oleh asy-Syahid al-Imam Hasan al-Banna R.A di dalam Usul 20-nya yang terkenal, iaitu Usul ketiga:

“Bagi iman yang benar dan ibadah yang sah dikerjakan serta kesungguhan (seseorang) bermujahadah, mempunyai nur (cahaya) dan kemanisan tersendiri. Allah S.W.T mencampakkan cahaya dan kemanisan itu ke dalam hati sesiapa yang Dia kehendaki di kalangan hamba-Nya.

Namun begitu, ilham, lintasan hati, Kashaf dan mimpi bukanlah sebahagian daripada dalil syarak. Ia tidak boleh diterima pakai kecuali memenuhi syarat tidak bertentangan dengan hukum-hukum agama dan nas-nasnya.”

●    Sumber hukum bagi PAS

Oleh itu, Ijtihad politik PAS adalah berdasarkan kepada dalil daripada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias sebagaimana tertulis dalam perlembagaannya. Juga berdasarkan pertimbangan maslahah iaitu menilai mana yang lebih bermanfaat kepada agama, rakyat dan negara.

Pertimbangan lain yang turut diambil kira ialah uruf masyarakat setempat, pengalaman pengurusan yang baik daripada pelbagai pihak dan mengenal pasti kehendak serta keperluan rakyat. Adapun mimpi, bukanlah sumber hukum.

●    Mimpi yang disebut di dalam video

Mimpi yang benar, diakui ada dan thabit dengan dalil al-Quran beberapa Hadis Nabi S.A.W. Ia kadang-kadang boleh menjadi panduan kepada yang bermimpi, tetapi tidak boleh membina hukum syarak daripada mimpi tersebut.

Ada kisah mimpi Nabi Yusuf A.S. Ada tentang mimpi Nabi Ibrahim A.S. Ada kisah tentang mimpi Saidina Umar R.A. Ada tentang mimpi Hammad, guru Imam Abu Hanifah. Ada tentang mimpi Nuruddin az-Zinki. Dan lain-lain.

Mimpi yang disebut di dalam video ialah mimpi DSTG Haji Abdul Hadi Awang. Dato’ Mohd Amar hanya menceritakan. Dalam mimpi beliau, al-Marhum TG Nik Abdul Aziz dilihat kehilangan sebelah kakinya.

Mimpi ini berlaku sebelum penamaan calon dan sebelum Nik Omar bertanding. Dato’ Mohd Amar menceritakan mimpi itu kerana dia mula memahami isyarat mimpi itu dengan makna bahawa seorang anak TG Nik Abdul Aziz bakal hilang daripada perjuangan ayahandanya.

Rupanya sebelah kaki yang hilang ditakwilkan sebagai kehilangan anggota penting dan dekat daripada perjuangan al-Marhum. Setakat itu saja.

Mimpi itu sebagai isyarat tentang apa yang bakal berlaku dan telah betul-betul berlaku pada hari Dato’ Mohd Amar berucap.

Tiada hukum syarak dibina berdasarkan mimpi itu. Dan tiada kewajipan untuk mempercayai mimpi itu dan takwilannya, atau untuk tidak mempercayainya.

Persoalan ketiga: Adakah perjuangan dalam pilihan raya sama seperti Perang Badar? 

   Perbandingan bahasa, bukan perbandingan Usul Fiqh

Ramai pengulas memberikan ulasan yang melampaui maksud penceramah sendiri.

Tentulah Dato’ Mohd Amar tidak maksudnya Perang Badar sama seperti pilihan raya daripada semua aspek perbandingan.

Ini bukanlah Qiyas dalam Usul Fiqh sehingga dikatakan ia adalah Qiyas yang ditolak, iaitu al-Qiyas Ma’al Faariq.

Ini adalah Tasybih dalam Ilmu Balaghah. Iaitu menyerupakan beberapa perlakuan dalam sesuatu peristiwa dengan beberapa perlakuan dalam peristiwa lain. Ia disebut sebagai Tasybih Tamthili.

   Menjelaskan perbandingan

Perang Badar antara Muslim dan kafir. Menang dan kalah diukur daripada membunuh atau dibunuh.

Sementara, pilihan raya pula bukanlah peperangan dengan erti kata bunuh membunuh yang hakiki. Tetapi bunuh membunuh itu diserupakan dengan kelakuan mengundi parti tertentu atau tidak mengundi parti tertentu. Pihak yang mendapat lebih undi akan diisytiharkan menang.

Hakikatnya, pilihan raya adalah proses untuk memilih pemimpin secara aman. Bukan proses ‘berperang’ yang sebenar.

Yang dimaksudkan oleh penceramah ialah pendukung dan penyokong PAS akan tetap memilih PAS, walaupun terpaksa tidak mengundi Nik Omar yang merupakan anak al-Marhum Tok Guru yang kita kasihi.

Sesuatu yang kita sangat tidak suka, tetapi kita terpaksa berbuat begitu untuk memastikan PAS terus dapat menubuhkan kerajaan di Kelantan.

Sebabnya, jika Kerajaan PH yang memerintah tentulah ia tidak akan bersetuju dengan Hudud dan dasar memperkasakan syariah dalam pentadbiran kerajaan negeri yang telah pun dimulakan oleh TG Nik Abdul Aziz di Kelantan. Itu adalah satu musibah yang besar.

Penutup

Alangkah ajaibnya dengan video seorang tokoh yang hanya berdurasi 2 minit 38 saat pada musim kehangatan PRU ke 14 ini. Ia menerima komen daripada pelbagai aspek dengan cara yang sangat dijangka. Saya sendiri pun tidak menjangka akan mengulas sepanjang ini.

ZAKARIA ISMAIL
30 April 2018 – HARAKAHDAILY 30/4/2018