Nik Omar tak jejas PAS

PAS

PAS dipercayai tidak terjejas dengan Nik Omar, anak TG Nik Aziz menjadi calon parti pimpinan bersama Mohamad Sabu dan Dr. Mahathir di Dun Cempaka yang di dalamnya Kampung Pulau Melaka, kampung hidup mati TG Nik Aziz.

Advertisement

Cuma ia boleh mengelirukan setengah orang bagaimana anak pemimpin besar PAS boleh menyertai parti lawan yang pimpinan besar gabungan parti itu Dr. Mahathir, Perdana Menteri yang menghalang pelaksanaan Hudud dan lain-lain program Kerajaan PAS Kelantan pimpinan TG Nik Aziz.

Sekalipun Nik Omar mewakili PAN, tetapi sebahagian kecil dari Harapan, yang pimpinan utama semasa PRU14 ini adalah Dr. Mahathir yang tidak pernah menghormati TG Nik Aziz. Bagaimana anak pejuang atau pimpinan Islam boleh menjadi calon pimpinan Mahathir yang sikap fobianya terhadap gerakan Islam sama saja dengan DAP sepanjang masa.

Ia memayahkan PAS untuk menarik orang di luar PAS untuk menyertai PAS atau menyokong PAS kalau anak pemimpinnya sendiri meninggalkan PAS. Sekalipun tidak menjejaskan PAS tetapi payah hendak menjawab terutama kepada orang awam.

PAS tidak terpukul dengan perkembangan itu. Tidak sama seperti kesan Anwar Ibrahim yang pernah dekat dengan PAS menyertai Umno pada PRU 1982. Ketika masyarakat umum bersamanya memperjuangkan Islam, tiba-tiba dia masuk Umno, memang tergencat program sokongan PAS masa itu.

Ketokohan dan kepintaran Datuk Asri adalah hebat, tetapi PAS tidak mati dengan ketiadaannya. Jika Mahathir menentang Umno pun belum tentu Najib atau Umno dapat ditumbangkan, maka payah Nik Omar boleh menyusahkan PAS.

Jika berlaku sesuatu kepada PAS Kelantan dalam PRU ini, ia adalah atas sebab lain, bukan kerana anak Tok Guru tidak menyambung perjuangan bapanya.

Kejadian itu boleh menyusahkan keluarga Tok Guru untuk menghadapi keadaan sekitar, boleh mengelirukan sambutan umum kepada sekolah agama yang ditegakkan oleh Tok Guru yang Nik Omar penerajunya, mengelirukan orang hendak berjamaah di masjidnya yang Nik Omar adalah imamnya.

Payah hendak difikirkan bagaimana ia mudah dikompromi. Setiakawan orang Kelantan terhadap PAS adalah kuat. Bagaimana mereka boleh terima perkembangan itu?

Ternyata ia telah menyusah sekalian yang menyayangi Tok Guru dan keluarga Tok Guru. Semuanya kesian kepada peninggalan Tok Guru dan amat simpati kepada keluarganya. Keluarganya telah disusahkan oleh orang tidak menyenangi PAS. Pilunya melebihi pemergian Tok Guru tiga tahun lalu.

Keluarganya tidak bersalah jika masing-masing berbalah politik kerana PAS. Tetapi mengapa keluarga Tok Guru dihukum? Memang PAS telah disusahkan oleh orang yang tidak mempusakai PAS setelah ketiadaan Tok Guru.

Tidak dikatakan kasih kepada Tok Guru oleh orang yang mengaku setia kepadanya apabila mereka menyusah dan mengganggu kedamaian keluarga Tok Guru.

Keluarganya telah diceroboh. Ceroboh paling ketara ialah memerangkap anggota keluarga Tok Guru meninggalkan parti dan menentang parti yang diperkasakan oleh Tok Guru. Bahagia bagi pemimpin apabila anak cucunya menyambung perjuangannya.

Pemimpin-pemimpin bekerja siang malam memperkasakan PAS. Menyeru seramai-ramai menyertainya. Orang ramai berduyun-duyun menyokong dan meneruskan perjuangannya sekali selepas pemergiannya. Tetapi anak-anak para pemimpin bukan saja tidak mewarisi wadahnya sebaliknya bertempur dengan orang-orang yang meneruskan perjuangannya.

Apakah segala seruan para pemimpin menyeru orang bersama dalam perjuangan hanya untuk orang ramai bukan untuk anak-anak dan cucunya?

Tidakkah mereka yang memerangkap anak cucu para pemimpin memperleceh wadah yang mereka tinggalkan adalah jenayah ketara kepada para pemimpin yang sudah tiada itu? – HARAKAHDAILY 1/5/2018