OKU pembantu calon PAS N.28 Kota

REMBAU: Perhatian PAS kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak sekadar kesantunan tanggungjawab kasih sayang dan belas ihsan, bahkan juga memartabatkan dengan peranan dan pengiktirafan atas kebolehan atau bakat tertentu.
 
Perkara tersebut dibuktikan sebagaimana taklifan diberi kepada OKU kerdil, Mohd Noor Karnain Kamaruddin yang juga dikenali sebagai Naim selaku pembantu kepada calon PAS N.28 Kota, Ishak Omar.
 
Kekurangan fizikal tidak sedikit menyekat kesungguhan dan komitmennya untuk menyumbang kepada perjuangan PAS yang dibuktikan menerusi penyertaan pada penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Rembau, di sini kelmarin.
 
Beliau juga bertekad untuk sentiasa bersama Ishak sepanjang 11 hari kempen serta berganding bahu dengan seluruh ulama, anak muda, muslimat dan as-Sabiqun serta penyokong PAS bagi menggembleng kemenangan.
 
Ishak sebaik sahaja diisytiharkan sah sebagai calon PAS yang akan menentang BN dan PH di Dun tersebut terus menjalankan kempen sebagaimana rutin kebiasaannya menyantuni hal ehwal penduduk. -HARAKAHDAILY 30/4/2018
Advertisement