PAS mahu lonjak industri ternakan Terengganu

sam1

KUALA LUMPUR: Calon PAS bagi kerusi Dun Ru Rendang, Marang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAS ingin melonjakkan industri penternakan di Terengganu.

Advertisement

Katanya, Malaysia mempunyai suasana yang sesuai bagi penternakan dan bahan penternakan yang mudah didapati.

Beliau yakin sekiranya dapat dilakukan lonjakan dalam industri penternakan maka ianya akan lebih baik daripada sekarang.

Tambahnya, Terengganu memiliki tanah yang tidak digunakan lebih banyak daripada negeri lain.

Beliau juga menyatakan bahawa petani dan penternak seharusnya diberikan insentif-insentif yang menarik.

“Kita juga percaya bahawa petani-petani dan penternak-penternak diberikan insentif-insentif yang menarik untuk membangunkan industri ini termasuk dari segi sistem sokongan, dari segi guna sama peralatan-peralatan dan bahan-bahan berkenaan ternakan yang kira sangat memberi kesan kepada industri penternakan,” jelasnya pada majlis ceramah malam tadi yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook.

Menurutnya, bahan-bahan makanan yang memiliki kos yang tinggi perlulah diberikan penekanan oleh industri dan dibantu oleh kerajaan.

Terang beliau industri penternakan mampu meningkatkan lagi taraf ekonomi terutamanya taraf ekonomi masyarakat Negeri Terengganu.

“Saya percaya ini sasaran besar kita yang akan dilakukan oleh PAS di Negeri Terengganu bagi melonjakkan industri pertanian dan tentunya perkara-perkara begini perlu dilakukan dengan kerjasama pihak di peringkat pusat.

“Kita percaya apa yang dilakukan sekarang tidak memadai di peringkat negeri bagi membantu industri ini supaya memberi keuntungan ekonomi kepada seluruh rakyat Terengganu,” kata beliau menjelaskan sasaran PAS Terengganu.

Sektor penternakan merupakan satu sektor yang berpotensi untuk dibangunkan di Terengganu dengan unjuran pada tahun 2020, Malaysia memerlukan 2.1 juta tan metrik pelbagai daging bagi menampung permintaan penduduk. – HARAKAHDAILY 30/4/2018