Solat hajat mohon PAS menang perbicaraan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyudin Hassan memaklumkan bahawa perbicaraan kes saman terhadap Sarawak Report akan berlangsung di Mahkamah Tinggi London pada pukul 10 pagi waktu United Kingdom bersamaan 5 petang waktu Malaysia.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru kepada semua ahli PAS untuk mendirikan solat hajat dan bermunajat untuk memohon kemenangan kepada PAS dalam perbicaraan dan juga kepada semua calon yang bertanding di atas lambang PAS.

Takiyudin kemudiannya mengumumkan empat orang calon bukan Islam yang bertanding di kerusi Parlimen bagi PAS iaitu di Parlimen Bentong, Batu Kawan, Kampar dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan Bagan dari Parti Cinta Malaysia (PCM).

Beliau juga turut mengumumkan enam orang calon bukan Islam yang bertanding di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri bagi PAS iaitu di kerusi Dun Rawang, Kinrara, Pandamaran, Sentosa di Selangor, Pasir Bedamar di Perak dan Temiang di Negeri Sembilan.

Tambahnya, terdapat 20 calon PAS pada pilihan raya kali ini di peringkat Parlimen dan Dun merupakan bekas anggota tentera.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat 157,000 pengundi daripada anggota tentera dan terdapat lebih 1 juta pengundi di kalangan veteran tentera.

Leftenan Kolenal (B) Mohd Nazari Mokhtar kemudiannya menghebahkan bahawa terdapat tujuh orang calon bekas tentera di Johor, lima orang di Kedah, dua orang di Perak dan Pahang, seorang di Perlis, Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan. – HARAKAHDAILY 30/4/2018