Strategis DAP akui PAS kuat

TERKEJUT saya selepas menonton rakaman video syarahan Dr Wong Chin Huat, seorang strategis terkemuka DAP yang mengetuai Program Kajian Politik di Penang Institute, sebuah badan pemikir besar yang didanai oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dan yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pada malam tadi, 29 April 2018.

Advertisement

Di dalam syarahan anjuran Engage bertajuk “Malaysian Politics: How Did We Get To Where We Are Today?” yang dilangsungkan di Tropical Inn Hotel, Johor Bahru, itu, Dr Wong Chin Huat di antara lainnya menyebut mengenai perkara-perkara berikut:

●     Pertarungan dalam PRU14 sebenarnya bukanlah antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak. Tetapi adalah antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan PAS yang sekali gus didakwa akan menjadi penutup kepada pertembungan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan PAS sejak 1981.

●     Naratif dan jalan cerita yang dibawa oleh PAS makin lama makin diterima rakyat sehingga kajian Pew Centre pada 2013 menunjukkan 86 peratus rakyat Islam Malaysia menyokong pelaksanaan hukum syariah dan sebenarnya mengatasi Umno (actually defeats Umno) yang didakwa makin lemah.

●     PAS kini menjadi makin sederhana di mana RUU 355 tidak lagi menyebut mengenai pelaksanaan Hudud tetapi hanya menyebut mengenai peningkatan status Mahkamah Syariah. Dan ini munasabah (makes sense) kerana jika bukan sebab British, kita tidak akan mempunyai Perlembagaan Sekular.

Dengan pengakuan Dr Wong Chin Huat kepada hadirin bukan Melayu beliau ini, maka terbuktilah para pemimpin DAP berbohong besar bila mendakwa bahawa PAS makin Radikal dan makin ditolak oleh rakyat. Pertarungan dalam PRU14 adalah antara PH dan BN sahaja serta RUU 355 tidak munasabah dan perlu ditentang oleh rakyat Malaysia.

Jauh bezanya syarahan Dr Wong Chin Huat ini dengan kenyataan beliau di dalam portal berita Malaysia Kini pada 5 Mei 2017 dahulu bahawa PAS adalah ‘Barua Umno’. – HARAKAHDAILY 30/4/2018