Keputusan Mahkamah London bantu lonjak sokongan PAS

MARANG: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menjangkakan keputusan Mahkamah Tinggi di London, semalam akan membantu melonjakkan sokongan parti itu pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Advertisement

Katanya, ini kerana keputusan pendengaran di hadapan Mr Justice Dingermans itu dapat menjelaskan segala ruang fitnah kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung artikel yang disiarkan dalam Sarawak Report.

“Kenyataan hendaklah ikut peraturan yang ada dan segala ruang fitnah dapat dijelaskan,” ujarnya pada siding media di pejabat Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Rusila, petang ini. Hadir sama ialah Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dr ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, tuduhan melalui artikel yang disiarkan dalam Sarawak Report itu sangat besar kepada Presiden PAS.

Beliau berkata, dengan keputusan mahkamah itu telah memurnikan tuduhan kepada Tuan Guru Abdul Hadi. – HARAKAHDAILY 1/5/2018