Muslimat PAS Bukit Payong yakin gapai kemenangan

MARANG: Muslimat PAS Dun Bukit Payong melahirkan keyakinan tinggi untuk mengekalkan kerusi tersebut bagi kali ketiga berturut-turut, berdasarkan kepada gerak kerja, faktor calon dan perubahan pemikiran rakyat.
 
Ketua Muslimat Bukit Payong, Umi Khadijah Abdullah berkata, keyakinan itu tidak berlandaskan impian kosong semata-mata, tetapi ia diberikan berdasarkan kepada risikan dan penglibatan orang atas pagar.
 
“Jentera di semua peringkat telah pun bersiap sedia daripada awal lagi bagi menghadapi PRU-14.
 
“Jentera kita telah bertungkus-lumus bagi mengekalkan kemenangan PAS di Dun Bukit Payung dengan kita menyantuni pengundi selari dengan arahan pucuk pimpinan. 
 
“Kita tidak mengira siapa calon kita sama ada lelaki atau perempuan, yang penting gerak kerja kita, kita lakukan dengan tersusun dan berhemah,” terang beliau.
 
Umi juga berkata, faktor kewibawaan calon PAS, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang sudah menang dua penggal berturut-turut, serta sikap beliau sangat mudah didekati, adalah nilai utama kepada PAS untuk pengundi memilihnya.
 
Bukan itu sahaja, menurut beliau, calon PAS itu juga mahir dalam bidang agama serta merupakan Ketua Penerangan PAS Terengganu yang semestinya peka isu semasa menjelaskan lagi ketokohan beliau.
 
Manakala Ketua Ameerah Bukit Payong, Siti Solehah Sudin turut bersetuju dengan kenyataan Ketua Muslimat PAS itu kerana beliau melihat sendiri sambutan memberangsangkan gadis remaja terhadap program anjuran PAS.
 
Beliau turut menjelaskan persiapan Ameerah hampir mencapai tahap maksimum dan pecutan akhir berbaki 10 hari lagi ini akan digunakan sebaik mungkin untuk berkempen.
 
“Alhamdulillah kebanyakan golongan remaja menyambut baik kehadiran kami ketika ziarah kempen.
 
“Bukan itu sahaja, kami juga melakukan pendekatan berkawan dengan semua pengundi dan banyak majlis-majlis yang kami adakan seperti meraikan majlis harijadi, memberi hadiah, riadah bersama-sama, diskusi ilmu dan juga program santai seperti BBQ.
 
“Kami tidak mengajak mereka keluar jauh, cukup dengan program berdekatan tempat tinggal mereka dan kami amat gembira sambutan yang diberikan,” ujar beliau.
 
Ditanya keyakinan Ameerah PAS pada pertembungan kali ini, beliau yakin menang kerana Ameerah ada berkempen menggunakan internet dan remaja-remaja sekarang mudah mendapat maklumat menerusi capaian dari internet.
 
Ternyata dengan pemilihan calon parti lawan dari kalangan wanita, menambahkan lagi semangat Muslimat dan Ameerah Bukit Payong untuk berkerja dengan lebih kuat bagi memberikan kemenangan kepada PAS.
 
Kedua-dua pemimpin PAS Dun Bukit Payong ini juga mengambil kesempatan merayu kepada semua pengundi untuk memilih calon-calon PAS, terutama di Bukit Payong, bagi merealisasikan impian rakyat bagi membina Kerajaan Teknokrat.
 
Mereka juga mengingatkan pengundi jika tersalah pilih pemimpin, akan terpaksa menunggu selama lima tahun lagi bagi memilih yang lain, sedangkan peluang ketika ini adalah terbaik membuat pilihan tepat dengan mengundi PAS. -HARAKAHDAILY 1/5/2018
Advertisement