PAS kalah, apa kita nak buat?

SATU mesej masuk ke telefon baru-baru ini “Assalamualaikum, mu baca dah survey terbaru Merdeka Center? Dia sebut yang BN akan menang di Kelantan. PAS juga tidak berupaya beri tentangan di Johor? Banyak yang dia sebut, PRU ini antara BN dan PH. PAS hanya akan duk tepi”.

Advertisement

Saya membalas “Sikit itu. Survey Invoke lagi best, PAS kosong di seluruh negara”, sengaja saya nak menguji dia. Dia balas lagi “Dah kalau kalah? Kita nak buat macam mana?”. Saya balas “Buat bodoh sajalah”. Dia tanya lagi “Serius ini. Aku bimbang kalau survey dia tepat”. Saya hanya membalas ikon senyuman untuk soalan itu.

Begitulah perasaan ahli yang sayangkan PAS ketika ini, waktu yang semakin hampir dengan PRU, pertarungan yang sebenar setelah bertahun-tahun mempersiapkan jentera masing-masing. Berdebar-debar, resah, gelisah dan tak keruan. Apatah lagi sebelum ini, hanya ada dua pihak yang bertembung. Tetapi kali ini agak meriah dengan satu lagi pihak yang baru menubuhkan pakatan, dengan kesemua parti yang bergabung di dalamnya adalah parti yang lebih muda daripada PAS.

Sebenarnya saya juga merasakan kebimbangan sebagai seorang manusia biasa, untuk menghadapi kekalahan. Tetapi bagi berlaku adil, PAS sebenarnya tidaklah mensasarkan kerusi yang banyak, hanya 40 kerusi untuk menjadi King Maker. Ianya sangat realistik dengan andaian, tiada pihak yang memenangi dua pertiga atau majoriti mudah bagi menjadi kerajaan.

Jika lebih daripada itu kita mendapat bonus. Angka 160 kerusi pula, adalah dibuat berdasarkan kekuatan setempat yang diyakini paling kurang boleh memberikan tentangan. Memandangkan tiga penjuru ini, mungkin akan ada pecahan undi.

Hanya mencuba nasib, untung batu tenggelam, tetapi mana tahu jika untung sabut? Jika menang dan menjadi kerajaan, PAS akan melaksanakannya. Dan sememangnya itu yang diinginkan. Harus juga kita mengetahui bahawa perletakan 160 buah kerusi itu juga adalah langkah awal mengambil semula kerusi-kerusi yang hilang dahulu ketika duduk di dalam PR. Jika selepas ini PAS kembali bergabung kerana banyak parti lawan PAS sanggup memartabatkan Islam, maka PAS boleh memilih kerusi-kerusi itu. Berfikiran jauh.

Tetapi, jika ada pihak yang menang majoriti mudah atau dua pertiga, maka PAS tetap kekal menjadi pembangkang. Tetapi jika tiada yang mempunyai majoriti, PAS ada penyelesaiannya. Siapa terima Islam, maka PAS akan sokong mereka untuk menjadikan mereka majoriti, dan tidak semestinya bergabung, hanya menyatakan sokongan. Tanpa menerima Islam, PAS tidak akan menyokong mereka untuk membentuk kerajaan. Semudah itu. Islam PAS letakkan syarat mesti ditempat utama.

Walaupun begitu, kebimbangan akan kalah di banyak tempat, tidak seharusnya dijadikan alasan bagi memberhentikan kerja jamaah. Sebaliknya, ia sepatutnya menjadikannya sebagai perangsang semangat ahli-ahli PAS.  

Kita bukan berkerja seperti parti lain. Kita berkerja hanya kerana kita meyakini kita menjulang Islam. Tanpa upah, tetap bersemangat melakukan semua kerja. Ia sudah diajar sejak dahulu. Kalah dan menang hanyalah hiasan sementara. Apalah maknanya kemenangan jika akhirnya kita gagal menjadikan kemenangan itu sebagai alat bagi kita lebih mendekatkan lagi diri kepada Allah. Lebih baik kita kalah jika itu lebih merapatkan hubungan kita dengan Allah.

Sepanjang pengalaman saya berkerja dengan parti, waktu kalahlah lebih meriah dan gembira berkerja untuk menang. Bila menang ramai pula yang datang menumpang, kemudiannya cuba mengubah itu dan ini, akhirnya kita yang tertolak ke tepi.

Lihat contoh Presiden PAS, PAS tidak pernah menang kerusi mencukupi peringkat Pusat bagi membentuk kerajaan. Tetapi usaha beliau tidak pernah putus. Teringat saya ketika tahun 1990, ketika itu PAS Terengganu melancarkan kempen “Tahun Tawan Terengganu”. Tetapi PAS gagal dalam usaha itu dan BN mengekalkan kemenangan mereka.

Apabila tiba hari persidangan Dun, wakil BN ‘menganjing’ kepadanya dengan memberikan sambutan olok-olok, “MB Terengganu dah datang”, kata mereka. Tidak lama selepas itu, 1999 PAS menang sekali di Terengganu dan kemudiannya dikalahkan dengan cara kotor. Dia tetap berdiri mengemudi bahtera jamaah menempuh badai.

13 PRU atau 63 tahun bukan masa yang sekejap. Perjuangan ini jika dihampar dengan permaidani merah, mungkin tiada tempat bagi kita untuk mencurahkan tenaga kerana terlalu ramai.

Pernah Almarhum Tok Guru Nik Aziz keseorangan di Parlimen. PAS pernah tinggal nisan di Dun Kelantan dan Terengganu, ada dua kerusi sahaja. Tetapi kisah Almarhum Datuk Dr Haron Din, perlu diambil iktibar. Beliau tidak pernah menang bertanding. Di suatu PRU, beliau dinasihatkan mengambil Parlimen Arau, tetapi memilih untuk ke Dun Tambun Tulang, bertembung dengan Shahidan Kassim. Beliau kalah. Kemudian ke Arau, pun sama, kalah.

Sehingga ke akhir hayatnya beliau tidak berpeluang berhujah sama ada di Parlimen mahupun Dun. Beliau tetap datang ke mesyuarat sehingga sebulan sebelum kematiannya, walaupun berbekalkan tabung oksigen. Saya dimaklumkan wang yang beliau dermakan kepada PAS Perlis ketika itu melebihi RM 1 juta.

Contoh ini kita mesti ambil untuk menjadi sumber kekuatan kita. Kita bertarung, dan memang menjadi sifat kita manusia mahu kemenangan. Tetapi kita mesti bersedia bila-bila masa untuk kalah dan tidak kecewa. Dan kebiasaannya PAS kalah. Namun kita tetap bangkit untuk perlawanan seterusnya sehinggalah detik kematian kita. – HARAKAHDAILY 1/5/2018