Apa sebenarnya para pemfitnah mahu?

ALHAMDULILLAH atas nikmat Islam dan Iman. Menarik melihat episod-episod dan plot-plot drama persekongkolan para pemfitnah RM 90 juta dengan tuduhan palsu Sarawak Report.

Advertisement

Apa jua yang PAS buat pasti akan terlihat buruk dan salah di mata para pemfitnah dan pembenci. Mereka sentiasa melihat sesuatu dengan mata lalat sehinggakan semua yang dilihatnya dan sudut pandang indera matanya ialah ke arah yang menjijikkan. Alangkah baiknya kalau melihat dengan mata lebah yang dilihatnya nektar yang mekar mewangi yang akhirnya menjadi madu yang manis.

Fitnah RM 90 juta yang kononnya PAS terima duit dari Umno ini fitnah yang terus dicanang khususnya sempena PRU14 ini telah dimulakan oleh Sarawak Report yang mana maklumatnya datang dari musuh-musuh PAS. Fitnah ini kemudiannya disambung sekonyong-konyongnya oleh lidah para pembenci berpenyakit hati yang dendam dan atau tidak suka dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Dalam konsep Islam bahkan konteks perundangan Universal, yang menuduh perlu membawakan bukti dan yang dituduh tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah! Tapi begitulah dalam kes tuduhan-tuduhan tanpa asas terhadap PAS, mereka mengguna pakai konsep baru: Kalau tidak betul dan tidak bersalah samanlah, kalau tak saman maka betullah bagai difitnah. Begitulah gilanya pemfitnah zaman edan ini! Yang difitnah perlu mempertahankan diri dari peluru tabur fitnah tanpa bukti yang dilancarkan kepadanya.

Atas segalanya, demi menjaga maruah, maka PAS dan Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) pun samanlah kerana kita yakin betul dan memang tidak bersalah. PAS meneruskan saman meskipun sedar kos guamannya mahal. Lebih mengharukan, ahli-ahli PAS seluruhnya termasuk simpatisan bersama turut memberikan infaq sama ada banyak atau sedikit untuk membantu membiayai kos saman tersebut.

Tapi seperti dijangka ia tidak berhenti di situ. Selepas PAS dan TGHH memfailkan saman, pemfitnah spin corner baring pula kata PAS tidak bijak saman kerana kos guaman mahal dan akan mengambil masa. Terkini bila TGHH menang Permohonan Interlokutori, dia kata tunggulah keputusan penuh, ini belum menang sepenuhnya sudah bersorak sakan. Pemfitnah tegar dan juak-juaknya kata tunggulah sudah habis perbicaraan penuh baru ‘celebrate’!

Demi sesungguhnya, tiada salahnya ahli dan simpatisan PAS meraikan kejayaan tersebut. Meskipun bukan keputusan penuh, kemenangan Presiden PAS TGHH dalam Permohonan Interlokutori Sarawak Report tersebut merupakan satu kejayaan manis yang wajar disyukuri dan membuat hati senang gembira lagi bahagia.

Begitulah mereka yang berpenyakit hati akan tidak pernah senang melihat PAS mencapai kejayaan. Lihatlah nanti, bila PAS dan TGHH menang keputusan penuh yang mana perbicaraannya dijadualkan pada 1-12 April 2019 di London, para pemfitnah dan pembenci akan u-turn pula kata itu ini begitu begini, bahkan mungkin akan mencipta fitnah-fitnah baru pula.

Bila pemfitnah dan pembenci berjaya mencipta dan viralkan fitnah-fitnah baru tersebut, maka mereka akan kata benda yang sama: Kalau tidak bersalah samanlah, kalau tak saman maka betullah bagai difitnah. Sudah saya katakan tadi, begitulah gilanya penfitnah zaman edan ini!

Apa sebenarnya yang para pemfitnah mahu? Mungkinlah nanti di Akhirat dan Mahsyar saat mulut sudah dikunci rapat, barulah kaki dan tangan mereka bersaksi akan fitnah-fitnah yang mereka reka dan cipta?! Jika begitulah, maka di ketika itu penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Selagi hayat dikandung badan, insaflah, taubatlah. Masanya untuk bermuhasabah dan mensejahterakan jiwa bersih dari kebencian dan karat fitnah!

Buat semua ahli, penyokong dan pendukung PAS, teruskan bermotivasi melangsungkan perjuangan kerana Allah. Carilah redha Allah, kita tidak akan kecewa!

Firman Allah S.W.T:

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang Mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya).

(al-Fath: 18).

Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan!

(Penulis merupakan AJK PAS Pusat, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia, Setiausaha PAS Negeri Sarawak dan Timbalan Ketua Pengarah V Jabatan Pilihan Raya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat.) – HARAKAHDAILY 2/5/2018