PAS Pahang tawar majukan Temerloh

KUALA  LUMPUR: Calon PAS bagi kerusi Parlimen Temerloh, Md Jusoh Darus berkata, daerah Temerloh yang terletak di tengah-tengah Pahang telah dianaktirikan berbanding kawasan tengah negeri-negeri lain.

Advertisement

Beliau memberikan contoh Sungai Petani di Kedah, Ipoh (Perak), Shah Alam (Selangor) dan Seremban (Negeri Sembilan) merupakan kawasan tengah bagi negeri-negeri tersebut dan ia kawasan yang mendapat perhatian untuk pembangunan.

“Di Negeri Kedah, ibu negerinya Alor Setar di utara, yang tengahnya adalah Sungai Petani. Jadi sekarang ni Sungai Petani tu berkembang lebih besar daripada Alor Setar.

“Tapi kalau kita lihat di Pahang, Temerloh ni di tengah tetapi perkembangannya tidaklah sepesat di Kuantan,” ujarnya dalam Sidang Media Khas PRU14 PAS Temerloh, semalam yang disiarkan menerusi laman Facebook.

Beliau berkata, sekiranya PAS menguasai kerajaan pusat maka pembangunan untuk Temerloh akan giat dijalankan demi kepentingan penduduk di daerah itu.

Perancangan bandar hanya untuk peniaga modal besar

Calon PAS bagi Dun Mentakab, Ustaz Abirerah Awang Chik menyatakan bahawa perancangan pembangunan bandar di bawah pemerintahan Barisan Nasional dilihat propeniaga modal besar.

Beliau memberikan contoh bahawa pasar borong Mentakab yang dibiarkan mati tanpa sebarang perancangan teliti bagi membantu peniaga yang berniaga di pasar borong tersebut.

Menurutnya, Pasar Borong Mentakab asalnya berada di tempat yang strategik namun dipindahkan ke kawasan yang kurang mendapat perhatian penduduk.

Justeru, beliau menyeru penduduk di Mentakab menyokong PAS supaya dapat melakukan perubahan demi kebaikan penduduk setempat.

“Suara rakyat di Mentakab yang memerlukan wakil yang betul-betul berani, yang bebas, yang tidak ada kepentingan. Jadi saya fikir di situlah saya boleh berperanan memberi khidmat kepada masyarakat,” ujar beliau sambal menyeru para pengundi di Mentakab turun mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Sidang Media Khas tersebut turut dihadiri oleh calon PAS bagi kerusi Dun Lanchang, Hasan Omar dan calon PAS bagi kerusi Dun Kuala Semantan, Hassanuddin Salim. – HARAKAHDAILY 3/5/2018