Presiden PAS 6-0 Editor Sarawak Report

PERKEMBANGAN terbaru saman Presiden PAS terhadap Editor Sarawak Report (SR) semakin menunjukkan kedudukan yang sangat positif. Walaupun kes tersebut telah berlangsung hampir dua tahun, tetapi kebenaran tetap tidak boleh disekat.

Advertisement

Strategi melengahkan masa merugikan pihak lawan 

Antara faktor kes saman ini berlanjutan begitu lama adalah kerana taktik yang digunakan pihak SR, Clare Rewcastle Brown. Sejak awal surat tuntutan guaman dihantar kepada beliau, dalih melambatkan prosedur telah digunakan. Beliau mendakwa surat tidak sampai, menyebabkan firma guaman Presiden PAS, Carter Ruck terpaksa mengulang beberapa prosedur sama.

Mahkamah yang sepatutnya mendengar keterangan pembelaan dari Clare pada Jun 2017, terpaksa ditangguh apabila beliau membuat permohonan jaminan kos. Akhirnya Mahkamah memutuskan Ogos 2017 pula sebagai tarikh perdengaran permohonan tersebut.

Ogos 2017, permohonan tersebut ditolak dan Mahkamah mengumumkan kemenangan Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) pada pusingan tersebut. Clare diperintah menanggung 2 per 3 kos guaman semasa TGHH.

Berang dengan kekalahan tersebut, Clare bertindak memecat peguamnya dan menggantikan dengan yang lebih ‘mahal’. Beliau dengan itu memohon penangguhan lagi supaya peguam baharu diberi masa untuk meneliti fakta kes.

Beberapa kali selepas itu, Clare membuat beberapa pindaan terhadap keterangan pembelaan yang membuatkan Mahkamah terpaksa menangguhkan lagi kes. Selain itu, mereka turut menghantar orang tengah memujuk PAS menarik balik saman dan diselesaikan di luar Mahkamah. Ini semua faktor yang membawa mahkamah terheret ke tarikh 30 April.

6-0, Presiden PAS selesa di ‘tempat lawan’ 

Sebelum ini, PAS telah menang dalam tuntutan jaminan kos oleh Clare. Pada prosiding 30 April pula, PAS menang terhadap 5 lagi permohonan beliau. Menjadikan keputusan setakat ini enam berbalas kosong.

Enam perkara tersebut adalah:

●     Tuntutan jaminan kos.

●     Permohonan mengenepikan saman.

●     Permohonan perbicaraan berasingan bagi menjelaskan maksud laporan SR.

●     Permohonan penangguhan atas alasan PAS mengganggu Ambiga.

●     Permohonan meminda keterangan pembelaan.

●     Penolakan Mahkamah terhadap pembelaan kebenaran. (Ini paling penting)

Secara mudahnya, semua hujah SR bagi membuktikan kenyataan beliau adalah benar telah ditolak oleh Mahkamah. Peluang yang tinggal untuk beliau cuma untuk membuktikan laporan tersebut dilindungi di bawah peruntukan Public Interest dan Fair Comment sahaja. Kalau nak kata SR pemfitnah pun sudah tidak ada salahnya berdasarkan keputusan semasa.

Ibrah Roma-Liverpool 

Ada yang mempertikaikan sorakan kegembiraan penyokong PAS dengan enam jaringan tersebut. Bagi mereka, kes belum tamat. Tetapi sebenarnya penyokong SR yang patut malu. 6-0 masih berangan mahu bangkit lagikah? Kalau digambarkan situasi ini seperti sebuah perlawanan bola sepak, sudah lebih separuh penyokong SR meninggalkan stadium.

Semua peminat bola sepak mengakui sukarnya Roma untuk bangkit ke atas Liverpool. Padahal mereka tewas cuma 2-5, bukan lagi 6-0. Dengan kedudukan tersebut rata-rata pengulas sudah membayangkan pertembungan akhir adalah antara Liverpool dan Real Madrid. Kalau Liverpool kalah 0-2 sekali pun tetap akan mara. Maka kenapa perlu sentap bila penyokong TGHH bersorak gembira bila keputusan semasa mendahului Clare 6-0?

Sekurang-kurang Roma punya kelebihan dua jaringan di tempat lawan. Mereka juga punya rekod cemerlang menewaskan Barca selepas ketinggalan 1-4 di suku akhir. Apa pula rekod Clare? Kalau Presiden PAS dan tetuan Carter Ruck adalah juga rekod menang ke atas Daily Mirror 2008 dahulu.

Bukan nak cakap besar, tapi bak kata pepatah Arab,

التكبر على المتكبر صدقة

Takabbur di hadapan orang takabbur adalah satu sedekah!

16 Syaaban 1439
2 Mei 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 2/5/2018