Santai Ameerah ‘pikat’ pengundi di kubu Umno

KEPALA BATAS: Calon PAS P.041 Kepala Batas, Ustazah Siti Mastura Muhammad dan N.01 Penaga, Ustaz Yusni Md Piah telah memeriahkan program Santai Ameerah di Permatang Bendahari, di sini semalam.

Advertisement

Pelbagai program menarik diadakan antaranya sesi membina imej menerusi slot tutorial penjagaan wajah yang bertujuan memupuk keyakinan penampilan kaum wanita dalam pelbagai tugas dan lapangan.

Turut menarik minat adalah demonstrasi pembuatan kek lapis yang popular di Sarawak dan potensi menjana pendapatan keluarga dan tidak ketinggalan, anak-anak turut dirai dengan acara sukaneka.

Keharmonian Santai Ameerah itu ternyata telah memikat penduduk setempat yang menyaksikan keterbukaan mereka menerima kehadiran PAS walaupun dahulunya ini dikenali sebagai kubu kuat Umno.

Ustazah Mastura dalam ucapannya menyentuh komitmen PAS menyelesaikan masalah membelenggu rakyat antaranya GST dan hutang pinjaman PTPTN dalam kalangan siswazah.

Beliau yang lahir dari keluarga sederhana menyatakan bahawa amat memahami denyut nadi rakyat dan kesusahan dialami anak muda dalam mengejar pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana kekangan kewangan.

Ustaz Yusni pula pada ucapannya mengajak penduduk untuk sentiasa berusaha menambah amal dan bersiap menjejakkan diri ke bulan Ramadan tidak lama lagi. -HARAKAHDAILY 2/5/2018