Bagaimana sekiranya PAS perintah Perlis?

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan beliau pernah ditanya oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin bagaimana sekiranya PAS memerintah di Perlis.

Advertisement

Beliau berkata, pertanyaan Tuan Guru Hashim itu ketika PAS memerintah Terengganu pada 1999 hingga 2004 lalu.

“Saya masih ingat Tok Guru tanya kalau (PAS) memerintah Perlis nak buat macam mana,” ujarnya.

Tambahnya, dengan adanya hasil sumber sawit pada masa itu di Terengganu dan Kelantan, maka sekiranya dibangunkan industri minyak sawit di Perlis akan memajukan ekonomi negeri dan rakyat Perlis.

“Saya kata oleh kerana Terengganu ada hasil pada masa itu, ada ladang kelapa sawit di Terengganu, Kelantan ada ladang kelapa sawit, kita buka industri minyak sawit di Perlis. Boleh angkut hak Kelantan bawak ke sini.

“Kita Pantai Timur, Perlis, Pantai Barat, macam-macam boleh buat. Kita reti juga ekonomi. Pakai kain pelikat pun tahu ekonomi juga, bukan tak reti,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Amanat Pilihan raya PRU14 di Madi, Jejawi Dalam Arau, Perlis, malam tadi yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook.

Pengurusan tidak betul

Menurutnya, perkara yang menjadi masalah adalah disebabkan oleh pengurusan yang tidak betul.

Beliau membawakan contoh kes kilang Perwaja yang kerugian berbilion ringgit kerana cara mengurus yang salah.

“Oleh kerana nak berniaga sama sendiri, dia buka kilang besi di Gurun. Dia punya tauke besar Eric Chia. Eric Chia terpaksa guna treler angkut besi dari Terengganu bawa ke Gurun.

“Nak kata berapa billion Eric Chia baham daripada angkut-angkut besi ni menyebabkan Perwaja rugi billion. Akhirnya kilang ni tutup. Ni kerana tak reti mengurus,” ujar beliau menerangkan secara ringkas skandal Perwaja yang berlaku di zaman Tun Mahathir.

Mahathir pernah mengaku bersalah dalam hal kerugian Perwaja dalam satu dialog dengan rakyat Malaysia di London pada 2002. – HARAKAHDAILY 3/5/2018