Gelombang tolak calon BN di Pasir Puteh

PASIR PUTEH: Biar pun Pakatan Harapan (PH) juga mempunyai impian untuk menafikan penguasaan PAS di Kelantan, namun gerak kerja parti itu tidak mencermin ke arah itu.

Advertisement

Malah menurut sumber ada calon diumumkan bertanding pada 28 April lepas belum lagi turun ke bawah menjalankan gerak kerja kempen.

“Kami mendapat khabar ada seorang calon Pakatan Harapan di peringkat Dun ke luar negara selepas penamaan calon. Beliau merupakan guru pencen,” kata seorang penduduk di Selising.

Sebaliknya calon PAS di Selising, Ustaz Tuan Saripuddin Tuan Ismail mendapat sokongan padu jentera pilihan raya dan bekas-bekas Adun iaitu Cikgu Bisi dan Drs Saiful Bahrin Mohamad.

Pada PRU 2008, Saipul Bahrin menewaskan calon BN Hashim Ismail dengan majoriti 783 undi. Dan pada PRU lepas Zulkifli Ali (BN) pula menang 107 undi.

Begitu juga penolakan calon Umno di Semerak, Dato’ Zawawi Othman semakin ketara. Sehingga sekarang lebih 100 ahli dan penyokong Umno di Semerak menyertai PAS.

Terbaru bekas Imam Tok Bali turut menyertai PAS. Gelombang menolak calon BN begitu ketara sekali selepas beliau dikatakan gagal melaksanakan tanggungjawab sebagaimana dijanjikan.

Ketua Pemuda PAS Dun Semerak, Suhaizi Kadir berkata, ramai lagi ahli dan penyokong Umno memberi komitmen menyokong PAS.

“Penyokong Umno tidak mahu lagi membiarkan Cikgu Awi mengumpul lebih banyak kekayaan di Semerak, sedangkan rakyat kurang diberi perhatian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/5/2018